Pendidikan mengenai penjagaan payudara sendiri bagi mengesan kanser payudara lebih awal perlu menumpukan kepada golongan wanita semuda usia 20-an.
Ini berikutan, wanita dalam kumpulan usia itu sering menganggap kanser payudara tidak akan menimpa mereka dengan alasan mereka masih muda, belum berumahtangga dan melahirkan anak.
Hakikatnya, semakin ramai gadis belasan tahun dan berusia 20-an mengalami kanser payudara kerana mereka tergolong dalam kumpulan yang berisiko disebabkan faktor sejarah keluarga.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2),Dr. Haliza Kamarudin berkata, beliau sering menemui ramai wanita muda berusia 20-an yang baharu hendak memulakan hidup, tidak tahu mereka berada dalam risiko tinggi.
“Wanita muda berusia 20- an, perlu sedar bahawa risiko mereka untuk menghidap kanser payudara adalah lebih tinggi sekiranya ada ahli keluarga terdekat seperti ibu atau kakak pernah mengalami kanser.
“Kalau ada nenek, ibu saudara atau lebih dua daripada adik-beradik menghidap barah payudara, anda juga berisiko tinggi untuk mengalami nasib yang sama dan perlu menjalani pemeriksaan payudara secara tetap,” katanya.
Dr. Haliza berkata demikian pada ‘Coffee Talk’ sempena kempen kesedaran dan pendidikan khas mengenai kanser payudara, “Pink Wobbly Breast Odyssey” di DSH2 anjuran jenama mentega kacang, Jobbie dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional Malaysia (MAKNA).
Jobbie memperkenalkan edisi terhad 5,000 balang kaca mentega kacangnya berwarna merah jambu yang direka khas dengan label “Pink Wobbly Breast Odyssey”.
Setiap balang menampilkan maklumat kesedaran kanser payudara dengan reka bentuk berwarna merah jambu yang menarik, melambangkan perjalanan dan keberanian individu yang menghidap penyakit ini.
Sempena kempen itu, setiap balang yang dijual, RM1 akan diderma kepada MAKNA untuk menyokong program kesihatan payudaranya, demi membantu menyediakan sumber maklumat dan rawatan bagi mereka yang terjejas oleh kanser payudara.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar MAKNA, Vemanna Appannah, Pempengaruh media sosial, Maryam You Narae atau Maryam Durian Kimchi. Pelbagai acara dalam bentuk permainan interaktif diadakan sepanjang program itu seperti puzzle untuk mencari perkataan berkaitan kanser payudara, mewarna, memeriksa payudara oleh kakitangan DSH2 dan demonstrasi yoga.
Dr. Haliza berkata, ramai golongan wanita berusia 20- an mempersoalkan mengapa mereka perlu melakukan pemeriksaan payudara? Ini berlaku kerana kesedaran mengenai kanser payudara tidak menyasarkan golongan itu berbanding golongan wanita berusia 30-an ke atas.
“Kita tidak menyasarkan golongan muda dalam kempen kesedaran kanser payudara selama ini. Bila mereka tanya, baru mereka tahu mengenainya. Pesakit saya berusia daripada 13 hingga 40- an tetapi tahap kesedaran lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 30-an,” katanya.
Tambahnya lagi, sebaiknya kempen kesedaran payudara perlu ditumpukan kepada pelajar kolej yang masih dalam lingkungan usia di mana mereka kurang kesedaran mengenai pemeriksaan payudara sendiri.
PEMERIKSAAN SENDIRI
Justeru Dr. Haliza menasihatkan supaya jangan sesekali tidak peduli dengan perubahan payudara sendiri dan sekiranya menyedari ada yang tidak kena dengan payudara, segeralah menjalani pemeriksaan dengan pakar onkologi atau doktor.
“Kalau ada lump atau benjolan, boleh kesan kanser di peringkat awal. Bagi pemeriksaan sendiri payudara, saya nasihatkan lakukan seminggu selepas haid setiap bulan. Apabila berjumpa doktor, kami akan menjalankan pemeriksaan klinikal payudara yang lebih teliti seperti ultra bunyi dan biopsi.
“Pemeriksaan secara bulanan membolehkan anda melihat di depan cermin seluruh payudara. Sebarang perubahan bentuk dan warna kulit sekitar payudara dapat dilihat dan pemeriksaan dapat mengesan ketulan,” katanya.
Tambahnya lagi, wanita perlu tahu bahawa 90 peratus benjolan atau ketulan yang ditemui adalah bukan kanser dan selebihnya iaitu 10 hingga 15 peratus pula berkemungkinan adalah kanser.
Pengesanan awal penting kerana purata peluang untuk hidup dalam kalangan pesakit kanser menurun sebanyak 3.75 kali antara kanser tahap empat dan tahap satu.
Sebagai langkah penjagaan sendiri kesihatan payudara, Dr. Haliza menasihatkan wanita supaya mengelakkan gaya hidup negatif seperti merokok, minum minuman keras atau alkohol dan lebih penting mengetahui tahap risiko masing-masing.
“Kanser payudara adalah kanser nombor satu dalam kalangan wanita di Malaysia. Ia adalah sebanyak 32 peratus daripada semua kanser yang dikesan dalam kalangan wanita. Risiko menghidap kanser payudara meningkat dengan usia dan berlaku dengan lebih kerap dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas.
“Malangnya, kebanyakan kes dikesan lewat, dengan hampir separuh kes dikesan pada tahap tiga atau tahap empat. Apabila pilihan rawatan lebih terhad, maka peluang untuk bertahan hidup lebih lama akan menurun,” katanya.
Statistik ini menekankan kepentingan pengesanan awal dan saringan berkala, terutamanya bagi wanita berumur 40 tahun ke atas, demi meningkatkan peluang rawatan dan mengurangkan kadar kematian yang berkaitan dengan penyakit ini.
Penting bagi wanita untuk mendapat maklumat mengenai kesihatan payudara dan memantau risiko dan perubahan kepada tubuh mereka serta mengamalkan rejim gaya hidup sihat. Saringan berkala dan pengesanan awal perlu diutamakan bagi mencegah penyakit itu atau menjalani rawatan pada peringkat awal.
PERANAN IBU
Sementara itu, Maryam berkata, wanita perlu mengasihi dan menyayangi diri sendiri bukan saja daripada sudut kesihatan fizikal tetapi juga mental kerana ibu yang tidak sihat, keluarga terutama anak-anak turut akan terkesan.
“Bagi saya, setiap pagi saya pastikan saya bersarapan dengan memakan epal segar, minyak zaitun dan makan makanan sihat serta seimbang untuk kekal sihat bagi memastikan anak serta keluarga terjaga.
“Wanita perlu tahu jaga badan sendiri dan mengesan sebarang perubahan pada tubuh terutama payudara. Kita perlu banyak membaca mengenai penjagaan kesihatan dan saling memberikan sokongan antara satu sama lain,” katanya.
Ibu kepada seorang anak perempuan ini berkata, anak gadis perlu diasuh dan diberikan kesedaran mengenai kanser payudara sejak mereka masih kecil kerana ia boleh dialami oleh sesiapa saja dan pada mana-mana peringkat usia.
“Ibu yang tidak tahu mengenai penjagaan dan pemeriksaan payudara akan mengalami kesukaran untuk mendidik anak masing-masing apabila mereka dewasa kelak. Pemeriksaan payudara mengambil masa hanya beberapa minit saja. Masa mandi pun kita boleh periksa payudara dan kita boleh tahu jika ada sebarang perubahan atau ketulan.
“Jadi, kita boleh ajar anak cara membuat pemeriksaan yang betul selain pada masa yang sama, mengajar ahli keluarga dan rakan-rakan wanita yang lain. Inilah yang saya katakan sebagai sokongan antara wanita,” katanya.
Sementara itu, Pengacara dan aktivis kanser, Choo Mei Sze berkata, perjuangan menentang kanser adalah perjalanan yang sunyi dipenuhi dengan suka duka terutamanya pada usia muda.
“Sokongan daripada keluarga dan orang tersayang sangat penting. Kuncinya adalah untuk bersemangat dan berfikiran positif serta mengambil langkah untuk mengurus penyakit dengan maklumat yang betul serta rawatan yang wajar.
“Apabila saya bercakap mengenai pemeriksaan payudara di kolej, ada pelajar yang berusia 19 dan 20 an yang berjumpa saya dan memberitahu mereka mengalami kanser payudara. Ia amat menyedihkan. Pada hari ini terdapat pelbagai media sosial yang boleh membantu kita menyebarkan maklumat mengenai kanser payudara kepada orang ramai dan kepentingan mengesannya lebih awal,” katanya.










