Dihina berlatarbelakangkan keluarga masalah mental

Dihina berlatarbelakangkan keluarga masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini kesedaran mengenai isu kesihatan mental semakin meningkat.

Namun, tidak dapat dinafikan ada segelintir masyarakat masih mempunyai stigma negatif terhadap pesakit mental dan ahli keluarga mereka.

Penyakit mental dianggap sebagai tanda kelemahan, sesuatu yang memalukan dan diwarisi.

Minggu ini saya kongsikan kisah Miera (bukan nama sebenar) yang berlatar belakangkan keluarga mempunyai masalah mental.

Miera yang saya temui baru-baru ini mengakui sejak kecil dia sering dihina kerana mempunyai ibu yang mengalami gangguan jiwa.

Katanya, sebagai salah seorang ahli keluarga yang diuji dengan cabaran itu, bukan semua orang mampu melalui dan memahami.

“Saya bersyukur kerana ibu dan bapa saudara serta guru-guru di sekolah banyak membantu untuk saya dan adik ketika itu agar lebih memahami tentang isu kesihatan mental.

“Alhamdulilah, semakin meningkat dewasa, masuk ke sekolah menengah dan di peringkat universiti saya juga menemui kelompok yang melihat isu kesihatan lebih kepada perspektif positif,’ ujarnya memulakan perbualan.

Namun konflik baharu muncul apabila dia mula serius bercinta dengan seorang lelaki, Sham (bukan nama sebenar) pada Mac 2022.

Di sinilah bermulanya perjalanan Miera mencari kekuatan dan kesabaran sebenar dalam diri serta memahami cinta seorang lelaki .

Hubungan dengan bakal suami menjadi rumit apabila keluarga bakal mertua memandang rendah latar belakang keluarganya.

“Mereka meragui kemampuan saya untuk menjadi isteri dan menantu yang baik kerana keadaan ibu yang mempunyai masalah mental.

“Lebih teruk, keluarga bakal suami menganggap saya mungkin mewarisi masalah mental,” ujarnya.

Kedua ibu bapa Sham terus memberi anak lelaki tunggal mereka tekanan agar meninggalkan Miera.

Keadaan ini sekaligus menyebabkan hubungan mereka menjadi tegang.

Kedua ibu bapa Sham bukan sahaja menentang hubungan mereka, malah turut mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap Miera.

Sham berada di persimpangan. Dia sangat mencintai Miera, pada masa sama tidak mahu mengecewakan kedua ibu bapanya.

Setelah berfikir panjang dan atas desakan keluarga, Sham akhirnya memilih untuk mengorbankan cintanya demi kebahagiaan kedua ibu bapa.

Sham memutuskan hubungan dengan Miera, meskipun hati kedua-duanya pedih dan sedih.

Miera pula terpaksa menerima kenyataan dan meninggalkan Sham.

Mengimbas kisah lampau, menurut Miera, berdasarkan cerita bapa saudara, ibu mengalami kemurungan selepas melahirkan adik bongsunya, Ismail.

Selepas seminggu melahirkan Ismail, ibu mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan.

Difahamkan ibu Miera berkeadaan begitu selepas mendapat tahu suami curang dengan wanita lain.

Ibu sering berasa tertekan, seakan kehilangan minat dalam kehidupan.

Ibu sering menangis tanpa sebab, hilang selera makan dan langsung tidak mempedulikan Ismail yang ketika itu masih bayi.

Lama-kelamaan kemurungan itu semakin parah hingga mempengaruhi fikiran dan emosi ibu.

Menurut cerita bapa saudara, bapa Miera yang sememangnya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, lama- kelamaan mula hilang sabar.

Bapa yang pada mulanya memberi sokongan, memilih untuk meninggalkan ibu dan mereka dua beradik.

Ini menjadikan situasi semakin sukar dan membuatkan ibu Miera semakin tertekan.

Tanpa sokongan suami, bebanan menjaga ibu beralih kepada Miera.

Menurut Miera, ketika itu dia berusia 10 tahun.

“Pada usia itu saya tidak tahu apa-apa. Sehinggalah pada suatu hari bapa saudara pulang ke kampung dan terkejut dengan keadaan ibu,” ujar Miera.

Menurut Miera, selepas mengetahui apa yang berlaku bapa saudara memutuskan mengambil mereka tiga beranak untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.

“Pada awalnya, ibu enggan mengikut bapa saudara, namun akur setelah dipujuk berkali-kali,

“Kami bukan sahaja diberi tempat tinggal, bahkan bapa saudara bertanggungjawab menguruskan makan pakai serta persekolahan sehingga saya dan adik berjaya menyambung pengajian ke peringkat universiti.

“Malah ibu turut dihantar menjalani rawatan psikologi di sebuah hospital,” ujar Miera sambil memberitahu ibunya meninggal dunia pada pertengahan Ogos 2023.

Selepas hampir dua tahun berpisah, pada Januari lalu Miera dan Sham bertemu kembali secara tidak sengaja di sebuah majlis.

Perasaan yang terpendam diluahkan. Sham mengakui tidak dapat melupakan Miera.

Kali ini, Sham menunjukkan pendiriannya untuk tetap berdiri teguh di sisi Miera.

Dengan tekad, Sham bertemu dengan kedua ibu bapa dan menyatakan hasrat untuk mengahwini Miera.

Sham menjelaskan bahawa cintanya pada Miera dan menyakinkan bakal isterinya itu tidak akan mewarisi gangguan mental.

Namun segala usaha Sham tidak berjaya. Kedua ibu bapa Sham tetap dengan pendirian untuk tidak menerima Miera dalam keluarga mereka.

Setelah mempertimbangkan pelbagai perkara, Sham dan Miera akhirnya membuat keputusan yang berat untuk tetap berkahwin.

“Awalnya bapa saudara juga tidak bersetuju dengan keputusan kami kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapa Sham, namun akhirnya dia juga akur.

“Bapa saudara pernah menyatakan kepada Sham, saya berhak untuk bahagia. Kebahagiaan itu hanya dirasakan apabila bersama Sham,” ujar Miera.

Kehidupan mereka tidak mudah. Namun Miera sentiasa berusaha membina keluarga yang bahagia dengan lelaki yang dicintai.

Sedikit demi sedikit, dengan usaha, doa dan kasih sayang yang ditunjukkan Miera terhadap Sham, Miera berjaya mengubah keluarga mentua.

Kedua ibu bapa mentua akhirnya sedar, bahawa penyakit mental bukanlah sesuatu yang mengaibkan.

“Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Untuk mendapat apa yang ada sekarang memerlukan pengorbanan dan kesabaran tinggi,” ujarnya yang kini sedang hamil tiga bulan.

Sesungguhnya sabar itu sebahagian daripada iman, sikap terpuji yang perlu dimiliki untuk meningkat darjat manusia.

Sebagaimana dalam Al-Quran, Surah Ali Imran ayat 146, “Allah mencintai orang-orang yang sabar.”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×