PETALING JAYA: Penyelesaian harga barangan keperluan harian buntu berikutan desakan penternak yang mahu kerajaan mengkaji semula Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang diperkenalkan bagi mengawal kenaikan kos.
Mereka berpendapat harga yang disyorkan oleh kerajaan itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan penternak terus terbeban dengan kenaikan kos dedak pada masa kini.
Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau memberi contoh, harga kawalan bagi telur gred A dan B disifatkan terlalu rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos harga dedak.
Katanya, harga tersebut perlu dikaji semula bagi mengelakkan penternak terus terbeban.
“Harga kawalan telur A dan B terlalu rendah. Kami jual harga ladang pun 34 sen bagi telur gred A. Tempoh sebulan skim tersebut terlalu lama berbanding tempoh sebelum ini iaitu maksimum selama dua minggu,” katanya di sini semalam.
Pembekal dan penternak ayam, Amirul Aqmal Razarudin, 29, berkata, realitinya dia berdepan tekanan apabila harga dedak berubah setiap minggu menyukarkannya menjual ayam kepada pemborong.
“Jika kerajaan hendak bantu rakyat, bantu dengan mengimport bahan mentah yang lebih murah untuk dedak, maka, harga ayam juga akan terkawal.
“Jika harga ayam yang diimport lebih murah di pasaran, macam mana dengan nasib penternak tempatan,” soalnya.
Dalam pada itu, rata-rata peniaga di seluruh negara terutama peniaga ayam mengakui dalam dilema kerana isu kenaikan harga penternak dan pemborong masih belum selesai ketika SHMMP dikuatkuasakan lebih awal dalam tempoh yang lebih panjang bermula hari ini.
Mereka memberitahu tidak mempunyai masalah mengikut harga siling ditetapkan kerajaan jika memperoleh harga lebih murah daripada pemborong dan penternak yang merupakan pemain utama dalam rantaian perniagaan tersebut.
Peniaga ayam di Pasar Besar Alor Setar, Kedah, Syamin Abdul Aziz, 49, berharap pemborong mematuhi harga siling SHMMP 2021.
“Sekiranya pemborong boleh bagi harga murah, Insya-Allah kita boleh jual murah. Sejak hari pertama puasa sudah enam kali naik dan setiap kali naik 30 sen sekilogram. Kalau mereka turunkan tak ada masalah.
“Kita pun tak tahan nak jual mahal, pelanggan memang mengeluh juga, kami untung tak banyak,” katanya.
Penjual daging tempatan, Zulkifli Saad, 54, berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau kenaikan harga ini dalam kalangan pemborong dan penternak.
“Pemborong tolak sekarang pun RM35 setiap kilogram, takkan kita nak jual RM34 pada harga siling rugilah. Kalau kerajaan boleh pasti pemborong ikut harga siling mereka kami tidak ada masalah,” katanya.
Peniaga ayam di Kuantan, Pahang, Shahrom Mohamad, 40, dia kini dalam dilema berikutan harga ayam yang diperoleh daripada pemborong naik mendadak sejak awal Ramadan menyebabkan mereka terpaksa menjualnya pada harga tinggi.
“Harga ayam standard yang diperoleh daripada pemborong RM8.70 sekilogram jadi kami terpaksa jual RM10 sekilogram dan untuk esok (hari ini), kami bergantung kepada harga ditawarkan pemborong,” katanya.
Kebimbangan sama turut disuarakan peniaga ayam di Perlis, Madihah Mansor, 50, yang mana pelaksanaan SHMMP 2021 akan memberi tekanan kepada mereka akibat harga ayam dari pembekal yang tinggi namun perlu dijual pada harga rendah.
Katanya, untuk bulan ini, lima kali pembekal menaikkan harga ayam sekitar 30 sen sehingga mereka terpaksa jual RM9 sekilogram ketika ini.
Dalam pada itu, seorang peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Nordin, 48, di Pulau Pinang berkata, dia buntu memikirkan nasibnya selepas ini sedangkan isu kenaikan harga ayam daripada peringkat penternak dan pemborong masih belum selesai.
“Esok (hari ini) harga ayam standard yang siap diproses ditetapkan pada harga RM7.90 sekilogram. Kami memang terpaksa akur dengan harga jualan tersebut dan bertahan selama 30 hari ini.
“Bagaimanapun, hari ini timbul pula masalah apabila pihak pemborong belum bersedia mengguna pakai harga kawalan iaitu RM7.10 sekilogram dan mahu mengekalkan harga terkini ayam pada harga RM8.10.
“Pemborong mengatakan yang mereka memperoleh harga ayam hidup sekitar RM5.80 sekilogram daripada penternak dan itu belum lagi dibuang organ dalaman,” katanya. – UTUSAN










