UMNO-Pas-Bersatu perlu bergabung demi Melayu

UMNO-Pas-Bersatu perlu bergabung demi Melayu

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kekuatan dan kedudukan politik orang Melayu hanya boleh berlaku jika semua parti politik berasaskan kaum itu diletakkan di bawah satu gabungan.

Ahli Majlis Pimpinan Ter­tinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, beliau mempunyai tekad dan impian untuk melihat parti terbesar yang mempu­nyai asas perjuangan sama iaitu UMNO, Pas dan Bersatu boleh berada di bawah satu payung dan membentuk blok parti yang kuat.

Redzuan yang mahu mempertahankan jawatan MPT bagi pemilihan Bersatu, Sabtu ini berkata, beliau akan sedaya upaya merealisasikan hasrat itu menggunakan strategi diplomasi untuk berbincang bersama ketua parti masing-masing.

“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menggabungkan UMNO, Pas dan Bersatu. Itulah cara yang sebaiknya untuk melestarikan kepimpinan Melayu.

“UMNO kata tidak boleh be­kerjasama dengan Pas selagi ada Hadi Awang (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang). Mungkin saya atau rakan lain boleh berunding tentang perkara ini.

“Formula itu amat jelas (gabungan parti Melayu), tiada isu lagi tetapi jangan ada salah guna kuasa. Selama 67 tahun merdeka, Melayu memerintah tetapi di mana kedudukan orang Melayu ketika ini?” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini kelmarin.

Mohd. Redzuan yang juga bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, sentimen orang Melayu suka berlawan sesama sendiri dan atas sebab itu banyak parti politik Melayu muncul di negara ini.

Katanya, ada parti yang berjuang demi duit dan ada yang bermatlamat perjuangan tulen selain ada dalam kalangan mereka bersifat hibrid.

“Bagi saya Pas konsisten. Saya suka bekerjasama dengan Pas. Saya buat kaji selidik yang mendapati tujuh daripada 10 responden menyukai Pas kerana nilai jati diri parti itu.

“Pas sebuah parti yang tiada korupsi, disiplin bagus. Mereka suka Pas cuma tidak bersetuju jika mereka mentadbir negara,” katanya.
Menurut beliau, UMNO silapnya hanya kerana kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bersatu pula, jelasnya, bukan tiada perjuangan tulen, cuma belum nampak agenda mereka, maka penampilan parti itu perlu ditambah baik kerana Bersatu mempunyai peluang besar sebagai alternatif parti Melayu.

“UMNO hari ini masih rele­van, strukturnya bagus, sama ada mereka boleh kembali, saya tidak tahu tetapi trend nampak­nya menurun.

“Jadi, kita sebagai ahli Bersatu tidak boleh selasa sebalik­nya mencari ruang dan peluang yang kita perjuangkan supaya mendapat tarikan atau boleh menarik orang Melayu supaya menyokong Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Wawancara penuh muka 14 & 15

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×