Ibu bapa tidak boleh ketinggalan zaman dalam era kecerdasan buatan

Ibu bapa tidak boleh ketinggalan zaman dalam era kecerdasan buatan

MENGAMBIL tahu tentang perkembangan teknologi membolehkan ibu bapa mengawal aktiviti anak di dunia maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIDIKLAH anakmu mengikut zamannya, kerana zamannya adalah berbeza sekali dengan zaman ibu bapanya.” – Saidina Umar Al-Khatab.

Kita sering mendengar dan terbaca ungkapan emas oleh khalifah kedua selepas baginda Nabi Muhammad SAW wafat ini.

Namun dari sudut maknawi, apakah kaedah mendidik yang sesuai untuk anak-anak muda zaman ini?

Sebagai umat Islam kita mempunyai sistem pendidikan berpandukan kitab suci al-Quran yang diturunkan sebagai mukjizat baginda.

Selain kitab suci yang menjadi panduan hidup, sunnah Nabi Muhammad turut menjadi sumber ilmu kepada umat baginda.

Pengertian sunnah Rasulullah bermaksud sesuatu yang bersumberkan daripada Nabi Muhammad dalam bentuk ucapan, perbuatan, sifat serta akhlak yang diberitakan oleh sahabat baginda.

Kita sebagai umat Nabi terakhir ini tanpa kompromi wajib mengikuti segala ajaran berasaskan kitab suci al-Quran dan As Sunnah tanpa gagal.

Dalam isu mendidik anak-anak zaman ini, adakah mencurahkan diri mereka dengan ilmu zaman moden berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) sudah mencukupi?

Secara amalinya pada zaman moden ini, pihak berkuasa memasukkan silibus pendidikan agama Islam di sekolah rendah dan menengah malahan hingga ke puncak menara gading.

Namun ada dalam kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya mengapa sebelum anak-anak ini memasuki sistem pendidikan formal pada usia tujuh tahun tiada pendidikan agama Islam yang diberi secara rasmi.

Zaman moden ini sewajarnya pendidikan agama Islam prasekolah diajar berasaskan ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang bersandarkan Mazhab Shafie. Sebaik-baiknya diajar dari peringkat usia lima atau enam tahun dan selanjutnya ke dalam sistem sekolah kebangsaan.

Zaman ibu bapa yang kalut dengan kerjaya dan hobi pendidikan awal formal agama Islam perlu dinormalisasikan.

Dewasa ini, pendidikan agama Islam di rumah seolah-olah menjadi aktiviti senggang dan sambilan ibu bapa yang sibuk bekerja di sebelah siang mahupun malam (bekerja syif).

Kadang-kadang ada ibu bapa yang menghantar anak ke tadika, terkejut apabila anaknya boleh membaca pelbagai doa seperti doa makan walaupun baru berusia lima tahun.

Sebaiknya pendidikan formal agama Islam perlu bermula dari usia hijau hingga peringkat sekolah dijadikan asas mendidik mengikut zaman tersebut.

Kita tidak mahu generasi bijak agama didominasi oleh satu keluarga dan kelompok sahaja, sehingga ada yang beranggapan adakah ilmu pendidikan agama turut bersandar kepada genetik semata-mata.

Berbalik kepada isu pendidikan dengan realiti zaman ledakan media sosial hari ini, pihak berkuasa sewajarnya mempunyai kawalan holistik terhadap kandungan media. Ini kerana ia boleh menjadi virus kepada sistem pendidikan agama. Itulah cabaran dalam era teknologi maklumat hari ini yang mempengaruhi pola pemikiran generasi muda.

Lebih membimbangkan generasi muda hari ini cenderung mempercayai sesuatu perkara yang mereka lihat dan dengar di dunia maya. Dalam aspek agama Islam, ceramah pendek ustaz di internet yang tidak didengari secara menyeluruh dibimbangi menjadi ilmu ‘setengah masak’.

Apa yang lebih membimbangkan apabila klip video yang tular hanya memetik situasi lawak jenaka dan kisah-kisah pelik sahaja. Sedangkan ustaz tersebut berceramah dengan nas dan dalil yang panjang sehingga dua jam, tetapi klip video disunting selama dua minit sahaja.
Isunya, adakah wajar pendidikan agama Islam di dunia maya diambil sekerat-kerat hinggakan yang menontonnya menganggapnya hiburan bukannya pelajaran?

Realiti hari ini generasi muda berhadapan dengan situasi di mana perkara yang muncul di skrin telefon menjadi rujukan utama untuk mempertahankan hujah dalam perbualan formal atau tidak formal. Kadang kala, demi mengangkat pandangan yang dipetik daripada dunia maya menyebabkan anak-anak memperlekehkan nasihat ibu bapa.

AMBIL TAHU PERKEMBANGAN TEKNOLOGI
Sewajarnya sistem pendidikan kita memperkasa ilmu agama dari buaian hingga ke liang lahat.

Islam sebagai addin atau cara hidup perlu menjadi amalan dalam mendidik anak-anak. Maka, kursus perkahwinan perlu diperkasa oleh pihak jabatan agama Islam dengan memasukkan elemen teknologi informasi dan maklumat yang sesuai diikuti anak-anak.

Sewajarnya ibu bapa bijak menangani limpahan maklumat yang dilihat oleh anak mereka setiap hari dari kecil hingga dewasa.

Berikan panduan terbaik untuk mereka melayari setiap blog, laman sosial dan bermain permainan video menerusi penstriman langsung.

Kesimpulannya, untuk mengawal anak-anak dalam dunia maya, ibu bapa harus mempunyai ilmu teknologi maklumat juga.

Ini membolehkan pemantauan dibuat secara lebih holistik dan minda anak-anak kita tidak mudah dicemari oleh unsur pornografi, ajaran sesat dan blog militan yang merbahaya untuk perkembangan sosial mereka.

Apa yang lebih penting, kita perlu mendidik anak-anak mengikut zaman mereka, iaitu penuh dengan teknologi AI yang mengganti peranan manusia.

Jangan sampai anak dididik oleh gajet dan kita akhirnya terus menjadi kaget.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×