AS desak Israel perjelas serangan ngeri bunuh hampir 100 penduduk di utara Gaza

AS desak Israel perjelas serangan ngeri bunuh hampir 100 penduduk di utara Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meminta penjelasan daripada Israel mengenai serangan mengerikan di utara Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 93 rakyat Palestin.

Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller menyatakan permintaan itu susulan serangan ke atas bangunan kediaman di Beit Lahiya yang menyebabkan puluhan lagi cedera.

Miller mengakui beliau tidak dapat mengesahkan jumlah kematian, tetapi menegaskan AS menganggap insiden itu sebagai kejadian buruk dengan kesan yang mengerikan.

Tambah beliau, Washington telah menghubungi pegawai Israel dan menyatakan keinginan untuk mendapatkan penjelasan mengenai bagaimana kejadian itu boleh berlaku, terutamanya apabila laporan menyebutkan kematian puluhan kanak-kanak.

Tambah beliau, insiden ini adalah peringatan mengapa AS menyokong gencatan senjata untuk menamatkan konflik, yang menurutnya juga adalah demi kepentingan Israel.

“Adalah sangat penting agar Israel memberi perhatian terhadap matlamat strategik yang lebih besar dan berusaha untuk mengakhiri kempen ini dengan cara membebaskan tebusan, menjamin keselamatan mereka, dan bukannya meneruskan konflik yang tidak berkesudahan,” katanya.

Awal bulan ini, pentadbiran Biden telah menghantar surat kepada Israel, mendesak langkah-langkah bagi memperbaiki situasi kemanusiaan di Gaza dalam tempoh 30 hari, atau menghadapi kemungkinan sekatan bantuan ketenteraan dari AS.

Kata Miller, setakat ini, AS belum melihat kemajuan yang mencukupi berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Miller turut menyuarakan kebimbangan Washington terhadap undang-undang yang diluluskan Israel pada Isnin melarang operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA).

Tambah beliau, terdapat kemungkinan akibat di bawah undang-undang dan dasar AS sekiranya undang-undang itu dilaksanakan. -REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×