BAITULMUQADDIS: Israel melakukan serangan terhadap sasaran tentera di Iran, ketika media melaporkan beberapa letupan di ibu negara Teheran dan pangkalan berdekatan.
Tentera Israel berkata, pihaknya menggerakkan sepenuhnya keupayaan serangan dan pertahanan mereka ketika melakukan serangan ke atas sasaran tentera di Iran pagi ini.
“Sebagai tindak balas kepada serangan berterusan selama berbulan-bulan daripada rejim di Iran terhadap Israel, kini Angkatan Pertahanan Israel (IDF) sedang melakukan serangan tepat ke atas sasaran tentera di Iran.
“Keupayaan pertahanan dan serangan kami digerakkan sepenuhnya.
“Israel mempunyai hak dan kewajipan untuk bertindak balas terhadap serangan dari Teheran dan proksinya, termasuk serangan peluru berpandu yang dilancarkan dari tanah Iran,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap tentera, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu kenyataan berasingan turut menyeru orang ramai supaya berwaspada.
Skop serangan itu tidak jelas, tetapi penyiar awam Israel berkata, berpuluh-puluh jet pejuang menyerang sasaran tentera.
NBC News dan ABC News melaporkan, sasaran itu tidak termasuk infrastruktur tenaga atau kemudahan nuklear, memetik seorang pegawai Israel.











