PERUNTUKAN dana latihan kemahiran dan keusahawanan kepada wanita dalam Belanjawan 2025 perlu dibuat secara adil dan efektif agar tiada mana-mana kaum hawa terpinggir.
Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz berkata, pengawasan ketat diperlukan untuk memastikan semua inisiatif itu tersebut sampai kepada penerima layak.
Katanya, antara kaedah yang boleh dipertimbangkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan itu ialah melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita aktif dan institusi pendidikan terpilih.
Terdahulu, sejumlah RM650 juta dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.
“Kerjasama strategik itu dapat memastikan setiap program yang ditawarkan relevan kepada peserta.
“Dalam masa sama, bantuan dana itu mudah diakses oleh wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Belanjawan 2025 melakar sejarah baharu apabila menyediakan peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM421 bilion.
Kos itu meliputi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus diikuti RM86 bilion (pembangunan) tanpa termasuk RM2 billion simpanan luar jangka.
Dalam pada itu, Norhimah menyambut Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama berkaitan kaum hawa.
Ia sekali gus membuktikan komitmen tinggi kerajaan terhadap pemerkasaan dan kesejahteraan wanita di negara ini menerusi sokongan kewangan, latihan kemahiran dan program keusahawanan.
Namun, tegasnya, keberkesanan tawaran itu akan bergantung kepada pelaksanaan yang teliti.
“Walaupun ada pelbagai tawaran, saya percaya ia belum mencukupi untuk merangkumi semua pihak dan pasti ada yang tercicir.
“Ramai wanita terutama di luar bandar dan golongan B40, masih bergelut dengan cabaran besar dalam mendapatkan akses kepada sumber serta peluang.
“Oleh itu, lebih banyak inisiatif perlu diperkenalkan untuk menjangkau mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, WIN dianggotai seramai 100 ahli dengan 80 peratus daripadanya ialah usahawan.

Sokongan psikososial
Belanjawan 2025 disifatkan ‘kekurangan’ satu aspek penting buat kaum hawa iaitu sokongan psikososial dan perlindungan terhadap keganasan.
Menurut Norhimah, sokongan itu umpama pelengkap kepada setiap tawaran yang diberikan kerajaan kepada wanita.
“Dengan adanya inisiatif itu, wanita bukan sahaja berpeluang menikmati peluang ekonomi tetapi juga perlindungan dan sokongan mental.
“Justeru, saya amat berharap dalam belanjawan akan datang, kerajaan dapat memberi penekanan lebih kepada isu kesejahteraan mental dan sosial kaum hawa,” katanya.
Menerusi formula tersebut, beliau yakin negara dapat mencapai kemajuan yang lebih holistik untuk wanita.
Terdahulu, di Malaysia, wanita dikesan berdepan isu kemurungan, kebimbangan atau kecelaruan dua kali ganda berbanding lelaki. Ketika pandemik Covid-19, sebanyak 48.6 peratus wanita dikesan mengalami masalah itu dengan ibu tunggal menunjukkan peratusan tertinggi.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah kecelaruan mental dalam kalangan kaum hawa, namun ia boleh ditangani jika dicegah lebih awal.

Kembang ekonomi gig pada wanita
PRESIDEN Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed pula menyentuh mengenai keperluan mengembangkan ekonomi gig kepada wanita.
Katanya, perincian itu tidak disebut dalam Belanjawan 2025 sedangkan ia penting bagi menyokong penglibatan kaum hawa dalam sektor tersebut.
“Manfaatnya, wanita dapat bekerja secara fleksibel sambil menjaga anak, sekali gus menyumbang kepada kestabilan kewangan keluarga tanpa mengorbankan komitmen sebagai ibu atau isteri.
“Saya lihat sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan usaha ini termasuk menawarkan insentif kepada syarikat untuk menggalakkan mereka mengupah kaum hawa bagi tugasan tertentu atau program yang menggunakan 100 peratus kerja secara remote,” katanya.
Inisiatif itu dalam masa sama dapat mengurangkan isu pengangguran wanita berikutan sukar mendapatkan pekerjaan konvensional kerana jadual kerja yang ketat.
Dalam perkembangan sama, Normaziah turut menyarankan kerajaan menyediakan insentif telefon pintar terutama kepada wanita di luar bandar dan berpendapatan rendah.
Pemerhatian mendapati masih ramai daripada golongan sasar tidak mampu untuk memiliki gajet tersebut.
Sedangkan, telefon pintar sangat penting buat kaum hawa kerana menjadi pintu masuk kepada peluang pekerjaan dalam talian dan e-dagang, di samping akses kepada maklumat kesihatan serta pendidikan.
“Tanpa akses ini, wanita berpendapatan rendah mungkin akan terus tercicir daripada menimba ilmu, menyertai program latihan dalam talian, mendapat pekerjaan atau menjana pendapatan.
“Bukan itu sahaja, mereka juga tidak boleh mengakses maklumat tentang hakhak atau hal-hal berkaitan kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan intipati Belanjawan 2025 memiliki persamaan dengan wishlist yang dikemukakan KWIM.
Ia termasuk dalam aspek sokongan untuk wanita kembali bekerja, akses kewangan, pendidikan digital dan kesihatan.

INSENTIF KESEJAHTERAAN, KESIHATAN
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Kewangan, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan menyarankan pemberian insentif buat wanita yang mengikuti program kesejahteraan dan kesihatan.
Kaedah itu boleh dilaksanakan menerusi pelepasan cukai pendapatan individu.
“Kalau tidak silap saya pelepasan cukai yang disediakan pada masa ini ialah sebanyak RM1,000 bagi pemeriksaan kesihatan dan sewajarnya had tersebut ditingkatkan.
“Pendekatan sama boleh diberikan kepada kaum hawa yang mengikuti program latihan seperti literasi kewangan dan bimbingan perniagaan,” katanya.
Pelepasan cukai itu secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada wanita untuk sentiasa menjaga kesihatan diri di samping meningkatkan kemahiran mereka.
Dengan cara itu, mereka dapat lebih berdaya saing, aktif dalam pasaran kerja, menjana pendapatan buat keluarga dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.
Ia penting kerana wanita cenderung mengabaikan kesihatan mereka demi menjaga anak-anak dan keluarga










