Budaya di Kelantan sangat unik kerana asimilasi budaya yang tidak ada di tempat lain terutamanya perpaduan antara kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadikan ia sebuah negeri mempunyai adatnya yang pelbagai.

Kepelbagaian etnik yang wujud di negeri Cik Siti Wan Kembang menjadikan ia sebuah negeri yang menarik kerana rakyat yang berbilang bangsa, agama dan budaya ini boleh hidup dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung dengan perbezaan budaya dan adat, tetapi menyatukan semua.
Inisiatif Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menganjurkan Festival Puisi Malaysia 2024 (FPM) baru-baru ini, menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air serta masyarakat yang berpadu apatah lagi dengan ungkapan puisi dan kata-kata yang indah oleh para pendeklamator yang diundang khas.
FPM 2024 yang bertemakan Sastera dan Kesenian Asas Penyatuan Kaum adalah merupakan program perpaduan kaum melalui acara sastera dan budaya. Ia menggabungkan acara kesenian dan sastera yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat di Kelantan khususnya dan Malaysia secara umumnya.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Jayappragas Muthuveeroo semasa merasmikan acara tersebut berkata, program yang diadakan berkonsepkan puisi yang unik terutama yang menonjolkan keutuhan kekayaan seni dan budaya ini merupakan salah satu platform mendekatkan dan memartabatkan puisi dan kesenian dengan komuniti setempat menerusi acara yang diadakan selama dua hari ini.

“Kita hendaklah melihat dan mendapati kesusasteraan adalah cukup bijak, di sebalik segala penceritaan, pengucapan suara dan getaran emosi, ia mampu secara halus dan berhikmah menerapkan segala kesedaran pemikiran kepada masyarakat,” tambah beliau.
Seterusnya beliau yang mewakili Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC berkata, melalui program FPM yang menggabungkan kesenian etnik dan sastera ini, dapat kita saksikan dan hayati sebahagian daripada manifestasi minda, wajah, suara dan emosi kesusasteraan.
Malah, katanya, ia dapat berkombinasi dengan pelbagai wadah, wajah dan suara, daripada beberapa unsur seni budaya, secara berkesan.
“Saya berharap agar penganjuran program ini dapat disebarluaskan bagi memastikan generasi muda kini lebih memahami tentang kekayaan kesenian negara kita.
“Saya juga yakin acara ini secara tidak langsung mampu mempromosikan destinasi menarik,” tambah Jayapparagas.
Program yang diadakan pada 11 dan 12 Oktober lalu di UMK Bachok turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Roziah Mohd. Yunus, Pengarah Pusat Akeselerator Kreatif, UMK, Prof. Madya Dr. Ahmad Tarmizi Azizan, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Neggara (JKKN) Kelantan, Norzila Mamat Ghani, bekas Ketua Pengarah DBP, Dato A. Aziz Deraman, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Fatoni, Thailand, Dr. Suraiya Chapakiya dan Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dr. Salleh Rahamad.
FPM 2024 melibatkan 200 peserta dan dihadiri oleh hampir seribu penonton yang menyaksikan persembahan terdiri daripada deklamasi puisi, lagu puisi yang digabungkan dengan kesenian tradisional pelbagai kaum, muzik tradisional, tarian dan nyanyian.
Antara pembaca puisi FPM ialah Dato A. Aziz Deraman, Dr. Nordiana Ab. Jabar, Dr. Suraiya Chapakiya, Juara deklamasi puisi peringkat kebangsaan Siti Nur Zafran Zainal Abidin dan Amaruszati Noor Rahim.
Pendeklamator lain yang menjayakan FPM ialah Mashanis Mohamed, Awang Abdullah, Ruzila Man, Anuar Salleh, Noor Riza Mohd. Razali, Faridah Abdullah, Nurul Amiral Che Daud, Poojaselin Subramaniam, Daniel Benedict, Fardhana Whitney Allan.
Penyanyi lagu puisi pula melibatkan juara lagu puisi kebangsaan, Nasir Hasan, Anbakri dan Ezani Daud.
Hari kedua FPM telah diisi dengan pembentang makalah oleh sasterawan, budayawan dan para sarjana iaitu Dato A. Aziz, Dr. Suraiya, Dr. Nordiana, Dr. Tuan Nordin Tuan Kechik, Dr. Mohd.
Fadzil Yusof dan Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K.Matari.
Di sebelah malam pula FPM diisi dengan acara dendangan puisi tradisional dan baca sajak.
Persembahan puisi tradisional ialah Gurindam dan Nazam oleh Fir Khan, dendangan syair oleh Nur Aini Rahmat, persembahan seloka oleh Muhammad Syahmi Ikram Zulfikri dan Ahmad Daniel
Nasir, sementara persembahan pantun perpaduan pula oleh Muhammad Azam Mohd. Hashim dan Nur Aqilah Zulkipli dan lain-lain lagi.
PENULIS ialah Ketua GEMA










