Rumah tangga runtuh dek keegoan

Rumah tangga runtuh dek keegoan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA yang lebih berjaya daripada suami mungkin menghadapi cabaran emosional, terutama apabila keegoan mula menguasai.

Dalam situasi seperti ini, ada wanita yang mungkin tanpa sedar mula memperlihatkan keangkuhan dan kurang menghormati suami kerana berasakan diri lebih hebat.

Minggu ini saya kongsikan kisah Wawa, (bukan nama sebenar) yang mengakui sikap itulah juga yang menghancurkan rumah tangga dibina hampir lima tahun itu.

Sikap itu turut membawa penyesalan tidak berkesudahan dalam hidupnya akibat keegoan melampau.

“Saya tidak berniat membuka aib sendiri. Namun ia lebih kepada memberi pengajaran kepada wanita lain.

“Ini terutamanya para isteri yang sama-sama berjuang mencari nafkah membantu suami,” ujarnya kepada saya dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini atas kehendaknya sendiri.

Menurut Wawa, walaupun peristiwa itu sudah hampir sedekad berlalu dan bekas suami sudah ada keluarga baru, sehingga ke hari ini masih ada kekesalan dalam dirinya.

Berkongsi kisah kata Wawa, dia berkahwin dengan Mokhtar (bukan nama sebenar) hampir lima tahun.

Pada awal perkahwinan, mereka hidup bahagia. Mokhtar bekerja sebagai jurujual kereta sementara Wawa, seorang guru sekolah rendah.

Wawa seorang yang rajin dan penuh semangat.

Walaupun Wawa berkahwin dengan suami yang baik dan setia, dia masih tidak berpuas hati apabila melihat orang lain hidup dalam kemewahan.

Wawa merasakan bahawa dengan bakat dan potensi dirinya, dia boleh meraih kehidupan lebih baik .

Dia sering mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan akhirnya memutuskan untuk menyertai perniagaan multi level marketing.

Dalam perjalanan menuju impian itu, Wawa mula menyalahkan suami kerana tidak mampu menyediakan kehidupan mewah.

Dengan usaha yang gigih, perniagaan diusahakan Wawa, semakin maju.

Dalam masa sama, pendapatannya ketika itu jauh melebihi gaji Mokhtar.

Daripada seorang isteri yang dahulunya bergantung kepada suami, kini Wawa menjadi penyumbang utama kewangan keluarga.

Di situlah konflik antara mereka mula timbul.

Wawa mula merasakan dirinya lebih penting dalam perkahwinan kerana sumbangannya daripada segi kewangan lebih besar.

Ketika itu dia mula mempersoalkan setiap keputusan dan tidak lagi menghargai pandangan suaminya.

Sikap ego mulai menguasai diri Wawa. Setiap kali berlaku perselisihan faham, Wawa akan menggunakan sumbangannya yang lebih besar dalam keluarga sebagai alasan untuk menguatkan setiap hujahnya.

Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali sehingga Mokhtar rasa tercabar.

Mokhtar yang selama ini berdiam diri, tenang dan sabar akhirnya berasa harga dirinya tercalar.

Dia berusaha untuk bersabar, tetapi semakin lama dia rasa terpinggir dan tidak dihormati.

Setiap kali dia berusaha untuk berbincang dan memperbaiki keadaan, Wawa akan menolak dengan alasan dia lebih berjaya dan lebih tahu apa yang terbaik untuk keluarga mereka. Kemuncak pada hubungan mereka apabila pada suatu hari dalam satu pertengkaran, Wawa dengan tidak sengaja menyatakan dia tidak memerlukan Mokhtar dan boleh hidup sendirian.

Mokhtar yang selama ini menahan perasaan, akhirnya terpaksa membuat keputusan sukar dalam hidup.

Dia memilih untuk melepaskan Wawa dengan talak satu.

Atas persetujuan bersama, dua anak mereka, Meena dan Danial, (bukan nama sebenar), masing-masing ketika itu berusia empat dan dua tahun di letakkan bawah penjagaan Wawa.

Selepas berpisah, Wawa hidup dengan segala kemewahan hasil usahanya.

Namun, tidak sampai setahun, dia mula merasakan kekosongan yang tidak dapat diisi dengan wang ringgit dan harta benda.

Walaupun tidak mempunyai masalah dalam kewangan, Wawa mula sedar dia kehilangan sesuatu yang jauh lebih berharga, iaitu cinta dan kasih sayang serta kepercayaan seorang suami yang setia.

Kata Wawa, penyesalan mula timbul apabila menyedari bahawa dia telah meninggalkan seorang lelaki yang menyintainya sepenuh hati.

Ternyata kemewahan yang dikejar tidak membawa kebahagiaan .

“Bermula daripada rasa sayang kepada keluarga, saya cuba untuk memperbaiki perhubungan.

“Saya berusaha merapatkan diri dengan bekas suami dengan menjadikan anak-anak sebagai pengantara, tetapi gagal,’’ kongsinya.

Menurut Wawa, usaha itu gagal kerana bekas suami berpegang teguh dengan keputusan untuk tidak rujuk.

Akui Wawa, bekas suami mengakui telah memaafkannya, namun tidak mungkin rujuk kembali dengan alasan telah menemukan kebahagian dalam kehidupannya yang baru.

Tambah Wawa lagi, meskipun percubaan rujuk gagal, mereka sepakat terus membesarkan “Anak-anak memerlukan kestabilan emosi. Saya menerima bahawa hubungan dengan bekas suami tidak akan kembali seperti dahulu, tetapi tetap dijaga demi kebahagiaan anak-anak,” ujarnya.

Kisah Wawa memberi pengajaran, bahawa dalam perkahwinan, ego dan soal kewangan tidak seharusnya menjadi punca perpisahan.

Sebaliknya kerjasama, saling hormat menghormati dan komunikasi menjadi asas penting dalam membina hubungan rumah tangga yang kukuh.

Insya-Allah dengan adanya kesedaran, perbincangan dan kesediaan untuk berubah, rumah tangga yang hampir runtuh dalam diselamatkan.

Suami isteri yang berdepan dengan konflik atau krisis dalam rumah tangga perlu kembali kepada Allah SWT dengan mencari penyelesaian berdasarkan panduan ditetapkan dalam al-Quran. Sebagaimana dalam Surah al Rum ayat 21: Dan di antara tanda-tanda
(kebesaranNya) ialah Dia mencipta pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.

Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×