PASIR GUDANG: Sungai Kim Kim yang pernah menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah akibat pencemaran sisa toksik pada Mac 2019 dikelaskan dalam Kelas V yang dikategorikan sebagai paling tercemar dan tidak sesuai untuk sebarang kegunaan mengikut Standard Kualiti Air Kebangsaan (NWQS).
Utusan Malaysia yang mengambil sampel air di anak Sungai Kim Kim iaitu Sungai Selangkah yang bersambungan antara satu sama lain mendapati, pengkelasan bagi kualiti air dan kegunaan di situ juga berada dalam kelas sama.
Kedua-dua sampel air diambil kira-kira pukul 10 pagi dan 10.30 pagi, 5 Mac lalu dengan kerjasama sebuah makmal bebas bertauliah di Johor Bahru.
Makmal tersebut melakukan ujian lebih dua minggu bagi mendapatkan keputusan tepat.
Berdasarkan saranan pakar, pengambilan kedua-dua sampel air itu menggunakan peralatan khas iaitu van dorn water sampler tanpa perlu turun ke tebing sungai bagi mengelak risiko jika terkena percikan air sungai terbabit.
Ketika tiba di lokasi pertama di Sungai Selangkah di Jalan Pasir Putih, permukaan air Sungai Selangkah kelihatan gelap seakan-akan minyak berwarna hitam.
Di lokasi kedua iaitu hilir Sungai Kim Kim berdekatan jambatan menuju ke Tanjung Langsat pula warna air tidak terlalu gelap berbanding air di Sungai Selangkah.
Keputusan makmal pada 22 Mac mendapati parameter bagi Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) di Sungai Kim Kim didapati berada pada tahap 16 mg/L, melebihi kadar sepatutnya bagi sungai Kelas III yang hanya sekitar 6 mg/L.
Namun, BOD bagi Sungai Selangkah lebih mengejutkan apabila bacaan direkodkan terlalu tinggi iaitu 88 mg/L iaitu berkali ganda dari Sungai Kim Kim. Bagaimanapun, kedua-dua bacaan itu tetap berada dalam kelas tercorot NWQS iaitu Kelas V dengan takrifan paling tercemar.
Ini bermakna, kedua-dua sungai itu tercemar dengan bahan organik yang penguraiannya menyebabkan kejatuhan oksigen terlarut di dalam sungai dan sekali gus memberi kesan buruk kepada hidupan akuatik.
Bagi parameter Ammonia as N, bacaan menunjukkan tahap 10.2 mg/L di Sungai Kim Kim, manakala 17.3 mg/L di Sungai Selangkah yang sekali lagi meletakkan kedua-dua batang sungai tersebut berada pada kelas terendah dalam NWQS iaitu Kelas V. Malah, kadar pencemaran ammonia yang tinggi turut menjadi toksik kepada banyak hidupan.
Pada masa sama, kedua-dua angka itu juga amat jauh daripada had bagi sungai Kelas I untuk tahap ammonia yang sepatutnya berada pada bacaan 0.1 mg/L atau setidak-tidaknya tergolong dalam Kelas III yang hanya sekitar 0.9 mg/L.
Sementara itu, keputusan ujian mikrobiologi terhadap air Sungai Kim Kim juga memaparkan bacaan Escherichia coli atau E. coli yang tidak ‘sepatutnya’ apabila sebanyak 410,000 CFU/100mL direkod sekali gus menyaksikan perbezaan berkali ganda berbanding hanya 400 CFU/100mL dalam Kelas IIB yang boleh digunakan untuk tujuan rekreasi.
Namun, bacaan E. coli di Sungai Selangkah tidak tinggi iaitu 10,000 CFU/100mL dan tergolong dalam Kelas IIB. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan Standard Kebangsaan Kualiti Air Rekreasi Semulajadi di bawah Kementerian Kesihatan pula, kedua-dua bacaan E. coli melebihi paras 1,000 CFU/100mL untuk aktiviti rekreasi air sentuhan sekunder.
Dalam pada itu, Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr. Zaki Zainuddin berkata, sisa buangan industri dan kumbahan menyumbang kepada kadar pencemaran tinggi sehingga menjejaskan hidupan sekeliling dan memberi kesan kepada manusia.
Beliau yang membuat kajian ke atas Sungai Kim Kim sejak 2012 berkata, setiap sungai memiliki carrying capacity atau kapasiti menerima bahan pencemar, namun jika terpaksa menanggung bahan pencemar tertentu sehingga melebihi had, keadaan itu akan mengubah sifat semula jadi sungai.
“Dalam situasi Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah, ia sebenarnya sudah lama tercemar dan kejadian pada Mac 2019 itu bertambah buruk disebabkan terdapat penemuan pembuangan haram ‘tambahan’ oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga memberi kesan kepada penduduk dan pelajar.
“Sebagai contoh, sekiranya tahap organik tinggi, oksigen yang diperlukan oleh hidupan dalam sungai akan terjejas kecuali hidupan akuatik seperti ikan keli yang ‘lasak’ mampu meneruskan kehidupan berbanding spesies lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Mac 2019, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sehingga 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara waktu. – UTUSAN
Keputusan analisis makmal
Bahan fizikal dan agregat
Unit Sungai Selangkah Sungai Kim Kim
Nilai pH pH 6.8 6.4
Jumlah pepejal terlarut mg/L 651 14300
Jumlah pepejal mg/L 692 14400
Jumlah pepejal terampai mg/L 41 60
Jumlah agregat
Surfaktan Anionik sebagai MBAS mg/L <0.05 <0.05
Permintaan oksigen biokimia mg/L 88 16
Permintaan oksigen kimia mg/L 190 28
Minyak dan gris mg/L <1 <1
Sifat bukan organik dan bukan logam
Ammonia as N mg/L 17.3 10.2
Ammonia as NH3 mg/L 20.9 12.3
Klorida mg/L 146 8210
Jumlah sianida mg/L <0.05 <0.05
Nitrate as NO3 mg/L 16.9 <0.01
Phosphate as PO4 mg/L 87.6 16.0
Logam dan kation utama
Kromium mg/L 0.002 0.001
Kalsium mg/L 28.8 208
Besi mg/L 0.20 0.02
Zink mg/L 0.258 0.055
Arsenik mg/L 0.002 0.004
Potasium mg/L 28.4 205
Kadmium mg/L <0.001 <0.001
Merkuri mg/L <0.001 <0.001
Lead mg/L <0.001 <0.001
Magnesium mg/L 3.6 596
Sodium mg/L 241 5010
Pengkelasan kualiti air dan kegunaan
KELAS KEGUNAAN
Kelas I Sesuai bagi bekalan air minuman
Hampir tiada rawatan air diperlukan
Kelas IIA Sumber air bagi bekalan air minuman
Rawatan biasa adalah perlu
Kelas IIB Sumber air bagi kegunaan rekreasi yang ada sentuhan badan
Kelas III Sumber air bagi bekalan air minuman
Rawatan lanjut adalah perlu
Sesuai bagi minuman haiwan ternakan
Kelas IV Sesuai untuk saliran
Kelas V Paling tercemar dan tidak sesuai untuk sebarang kegunaan
Sumber: Jabatan Alam Sekitar










