KUALA LUMPUR: Mesyuarat ketiga Dewan Rakyat penggal ketiga Parlimen Ke-15 bersidang 35 hari mulai hari ini hingga 12 Disember depan bagi melengkapkan pusingan tahunan persidangan Parlimen untuk tahun ini.
Dalam mesyuarat kali ini, Dewan Rakyat dijangka membahas dan memutuskan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai pemberian kewarganegaraan secara automatik bagi anak kepada wanita Malaysia berkahwin dengan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.
Dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024, kerajaan akan meminda beberapa peruntukan lain berkaitan kewarganegaraan.
Bagaimanapun, sesi itu terlebih dahulu memberi tumpuan kepada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Disebabkan proses perbahasan belanjawan mungkin mengambil masa lama, pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan hanya diputuskan selepas perbahasan belanjawan selesai.
Ini ditambah lagi dengan beberapa urusan mesyuarat dan sambungan perbahasan usul-usul untuk bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sabah serta pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2023.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 pula hanya diletakkan di senarai empat dalam aturan mesyuarat, kemudian disusuli RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang menjadi kontroversi ketika ini.
Sesi kali ini juga bakal menarik perhatian apakah benar sekali lagi undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri diusulkan selepas beliau mencabar pembangkang bertindak demikian?
Bagaimanapun, pada awal bulan ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tidak menerima usul undi tidak percaya terhadap ahli Parlimen Tambun itu.
Dalam perkembangan lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiga kertas kerja berkaitan GISB Holdings Bhd. (GISB) akan dibentang pada hari kedua mesyuarat Dewan Rakyat.
Katanya, kertas kerja itu masing-masing dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementera itu, Mohd Na’im berkata, RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentang pada mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah, yang kini terhad kepada denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun atau sebatan enam kali, kepada bidang kuasa lebih luas mengikut syariah, kecuali melibatkan hukuman bunuh.
Dalam pada itu, pada permulaan urusan mesyuarat mengemukakan RUU untuk bacaan kali pertama, dua RUU akan dibentang iaitu RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.
Bagi sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan hari ini, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Perdana Menteri menyatakan kesediaan meminda undang-undang menangani sindiket penipuan yang menumpukan penggunaan akaun syarikat sebagai akaun keldai.
Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan langkah bagi mengurangkan kebergantungan dan mempelbagai strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) juga meminta Perdana Menteri menyatakan usaha kerajaan dalam memperkasa institusi kehakiman syariah daripada aspek kesarjanaan dan pengurusan pentadbiran yang lebih efisien bagi memastikan hak wanita dan kanak-kanak menjadi keutamaan. – UTUSAN










