Masalah penghadaman biasanya dirawat dengan penggunaan prebiotik dan probiotik.
Probiotik dan prebiotik merupakan dua komponen makanan yang penting dalam merawat masalah berkaitan usus dengan memudahkan pencernaan, meningkatkan sistem imun, mengurangkan sembelit selain mengurangi gejala radang usus.
Probiotik adalah bakteria baik yang wujud secara semula jadi dalam usus bagi membantu mengekalkan kesihatan tubuh.
Prebiotk pula adalah sebatian yang tidak boleh dicerna yang terdapat dalam makanan tertentu. Ia menjadi makanan kepada bakteria baik di dalam usus. Begitupun, terdapat satu lagi komponen yang penting dalam merawatmsalah usus dikenali sebagai postbiotik.
Pengarah Urusan My Myracle Sdn. Bhd., Chin Kok Tian berkata, postbiotik yang pertama dihasilkan secara tempatan dibangunkan dengan kerjasama penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berlainan dengan postbiotik yang dihasilkan di negara luar, postbiotik ini dihasilkan menggunakan makanan tempatan seperti tempe dan tapai ubi.
Malah, teknik yang digunakan juga berbeza daripada kebiasaan.
Teknik baharu yang telah dipatenkan ini menggunakan rawatan yang tidak berasaskan haba.
“Boleh dikatakan kami yang pertama memulakan rawatan tidak menggunakan haba. Kebanyakan postbiotik lain yang dihasilkan di luar negara menggunakan kaedah rawatan berasaskan haba.
“Kaedah ini meningkatkan lagi potensi postbiotik kerana kadangkala rawatan menggunakan haba mungkin akan mengurangkan beberapa bahan baik,” katanya.
PRODUK TEMPATAN
Jenama makanan tambahan kesihatan, BoonY & Co. tampil dengan produk makanan tambahan pertama mengandungi postbiotik yang dibangunkan oleh penyelidik tempatan itu menerusi produk Tribiotics.
Produk yang dibangunkan menggabungkan ketiga-tiga komponen prebiotik, probiotik dan postbiotik mampu mempertingkatkan kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Pengarah Urusannya, Fam Swee Ying berkata pembangunan produk itu selaras dengan usaha mengurangkan masalah berkaitan usus yang semakin meningkat di negara ini.
Sebatian postbiotik itu hanya boleh diperoleh daripada probiotik.
“Postbiotik membantu bakteria baik berkembang dengan menghasilkan usus yang sihat.
“Baja tersebut membantu ‘taman’ usus berkembang supaya lebih banyak bakteria baik boleh tumbuh di ‘taman’ tersebut.
“Ketiga-tiga komponen ini ibarat sebuah ekosistem hutan yang berkait rapat,” katanya. Kesejahteraan itu menyediakan lingkaran maklum balas positif di dalam usus, sekaligus membantu tubuh menggunakan manfaat kesihatan daripada postbiotik tanpa perlu menunggu bakteria baik memberi sebatian bermanfaat itu.
Keunikan produk itu terletak pada strain postbiotik yang terhasil daripada proses penapaian makanan tempatan seperti tapai ubi dan tempe.
Bahan tempatan ini bukan hanya membantu mengekalkan kesihatan usus malah turut menonjolkan kepentingan sumber semula jadi tempatan dalam suplemen kesihatan.
“Suplemen inovatif ini menggabungkan khasiat prebiotik, probiotik dan ramuan postbiotik proprietari kami iaitu Postbionix.
“Penghasilannya melambangkan komitmen syarikat dalam menghasilkan penyelesaian berasaskan tumbuhan yang dirumus secara saintifik untuk kesihatan usus.
“Ia sejajar dengan matlamat kami menyediakan produk semula jadi dan efektif, yang bukan sahaja mendorong kepada kehidupan lebih baik tetapi turut membawa kesan positif kepada komuniti,” katanya.
Sementara itu, Profesor Perubatan dan Perunding Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalaman, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lee Yeong Yeh berkata, masalah kesihatan sistem pencernaan dikenalpasti dengan pelbagai simptom, antaranya refluks asid, kembung perut, cirit-birit, sembelit dan masalah kulit.
“Kenalpasti simptom penyakit. Antaranya tanda ada berdepan masalah usus adalah kembung perut dan sembelit dan simptom-simptom ini kebanyakannya menyebabkan berlakunya stres dalam kalangan mereka yang mengalami masalah ini,” katanya.
Data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tahun 2022 menunjukkan bahawa gangguan sistem pencernaan berada di tempat ketiga dan kesembilan sebagai penyebab bagi kemasukan ke hospital di hospital swasta dan awam. – UTUSAN










