SINGAPURA: Taikun hartanah, pengusaha hotel dan ketua GP Singapura, Ong Beng Seng didakwa atas penglibatannya dalam kes bekas Menteri Pengangkutan, S. Iswaran.
Beng Seng, 78, berdepan satu tuduhan bersubahat membolehkan seorang pegawai awam memperoleh hadiah dan satu lagi tuduhan menghalang proses keadilan.
Iswaran, yang dihukum penjara setahun semalam, mengaku bersalah kerana memperoleh barangan seperti tiket Formula 1 dan perjalanan ke Doha oleh Beng Seng.
Dalam tuduhan pertama di bawah Seksyen 165, Beng Seng dituduh menghasut Iswaran untuk memperoleh barangan berharga untuknya dengan menawarkan perjalanan ke Doha.
Kertas pertuduhan menyatakan Iswaran tahu ini berkaitan dengan perjanjian pemudahan untuk Grand Prix Singapura 2022 hingga 2028, antara GP Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura.
Ketika itu, Iswaran adalah pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1.
Pertuduhan kedua, mengikut Seksyen 204A, adalah kerana menghalang keadilan.
Beliau dituduh dengan sengaja membantu Iswaran membayar 5,700 dolar Singapura (RM18,577) kepada GP Singapura untuk tiket kelas perniagaan dari Doha ke Singapura.
Kertas pertuduhan menunjukkan bahawa Beng Seng mengarahkan Pengarah GP Singapura, Mok Chee Liang untuk menghantar bil bagi kos penerbangan kepada Iswaran dan berkemungkinan menghalang proses keadilan.-AGENSI










