Sultan Muhammad V berjiwa rakyat

Sultan Muhammad V berjiwa rakyat

SULTAN MUHAMMAD V
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAHIRAN Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menyembelih lembu korban setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petradi Panji, Kelantan membuatkan rakyat di negeri serambi Mekah cukup teruja.

Mana tidaknya, bukan semua mampu berbuat demikian kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi untuk melaksanakan tugas tersebut.

Hal ini kerana, sembelihan itu perlu dilaksanakan mengikut hukum sebagaimana ditetap oleh ajaran Islam bagi memastikan ia sah.

SEMBELIH DUA EKOR LEMBU
Semasa sambutan Hari Raya Aidiladha lalu, baginda berkenan mencemar duli untuk menyembelih dua daripada 53 ekor lembu sempena Majlis Ibadat Korban Jama’ie anjuran Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Pada majlis itu, baginda yang berpakaian baju-T dan berseluar sukan, meluangkan 40 minit menyembelih dua ekor lembu dengan setiap seekor dianggar seberat satu tan.

Baginda tiba di majlis itu pada pukul 10.40 pagi sebelum berangkat pulang pada pukul 11.20 pagi.

Selain itu, tujuh daripada 53 ekor lembu itu dikurniakan oleh baginda untuk majlis korban tersebut.

SULTAN Muhammad V menyembelih lembu korban pada setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha.

 

CAKNA
Sikap baginda yang sering mencemar duli menyempurnakan upacara sembelih lembu korban dan kemudian mengagihkan daging kepada asnaf dan fakir serta miskin memperlihatkan kecaknaan kepada rakyat.

Kearaban hubungan baginda dengan penduduk di negeri ini umpama raja dan rakyat jelata berpisah tiada.

Sifat cakna baginda terzahir sejak dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan.

Ia bertambah subur apabila baginda dimasyhurkan menjadi Sultan Kelantan pada 13 September 2010 lalu.

GEMAR CEMAR DULI
Sebagai pemerintah negeri, baginda gemar mencemar duli dengan menjelajah ke seluruh pelosok pedalaman Kelantan.

Sebut sahaja kawasan mana, pastinya baginda sudah lawati termasuklah perkampungan Orang Asli baik di jajahan Gua Musang mahupun Jeli.

Tindakan mencemar duli itu bertujuan melihat dan merasai sendiri denyut nadi kehidupan rakyat jelata di segenap peringkat baik, kanak-kanak, dewasa mahupun yang bergelar warga emas.

Usaha baginda itu bertujuan memudahkan tugas sebagai pemerintah di tanah rendah sekebun bunga.

Pada masa sama, baginda mahu melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagai ‘payung’ kepada penduduk di negeri ini.

‘KITO’, ‘AMBO’ SEBAGAI GANTI DIRI
Gemar menggunakan loghat asli negeri seperti ‘kito’ dan ‘ambo’ sebagai kata ganti diri setiap kali bertutur menyerlahkan lagi jiwa rakyat baginda.

Sikap rendah diri itu menjadikan baginda cukup disayangi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Malah, sifat itu membuatkan rakyat menjadi lebih selesa untuk mendekati baginda terutama semasa mencemar duli menyantuni penduduk di negeri ini.

JUBAH, KOPIAH JADI PAKAIAN RASMI
Sungguhpun menggalas tugas sebagai pemerintah, baginda dilihat begitu selesa berjubah dan berkopiah setiap kali turun bertemu dengan rakyat.

Pakaian itu turut dikenakan semasa menunaikan solat di masjid. Malah ada dalam kalangan rakyat tidak menyangka lelaki yang memiliki wajah tampan itu sebenarnya adalah Sultan Kelantan.

Semua itu disebabkan oleh sikap bersahaja dan bersederhana baginda. Selain jubah, baginda suka berbaju Melayu atau ‘baju gumbang’ dan berkain pelikat.

Tindakan tanduk itu sekali gus membuatkan rakyat bertambah sayang pada tuanku Sultan.

JIWA AGAMA
Sultan Muhammad V dilihat cukup dekat dengan agama. Ia dapat dilihat menerusi program Qiam With Me.

Program berbentuk keagamaan itu mula diperkenalkan oleh baginda pada setiap kali tibanya bulan Ramadan sejak 2011.

Program bermula pukul 10 malam selepas solat Isyak dan tarawih, diikuti kuliah agama oleh penceramah jemputan, disusuli qiamullail sehingga sahur dan solat subuh berjemaah bersama baginda.

Pada 2012, baginda memahat sejarah tersendiri apabila menganjurkan program itu di Istana Negeri, Kubang Kerian. Menariknya, ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan terbesar seramai 6,000 orang berqiamullail bersama Sultan Muhammad V.

Sultan Muhammad V merupakan adalah anak sulung kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Baginda menerima pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar, sebuah sekolah berasrama yang terkemuka di Perak sebelum melanjutkan pengajiannya di Royal Military Academy Sandhurst di United Kingdom (UK)

Selepas tamat pengajian di UK, Sultan Muhammad V menabur bakti dengan berkhidmat dalam Tentera Malaysia.

Beliau juga merupakan Kolonel Utama Rejimen Artileri Diraja dan Kor Risik DiRaja (Royal Intelligence Corps).

Esok (29 September) dan lusa merupakan ulang tahun Keputeraan Baginda Yang ke-55 tahun dan pastinya akan diraikan dengan begitu meriah dan penuh adat istiadat.

Sebelum ini, Kelantan bercuti pada 11 dan 12 November sempena sambutan rasmi hari lahir baginda.

Semoga Allah SWT melindungi Tuanku dunia dan akhirat. Dirgahayu Tuanku!

PENULIS ialah koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN