GERIK: Penduduk Kampung Kuak Hulu iaitu sebuah perkampungan terpencil di hulu Perak, gembira apabila kawasan mereka dikunjungi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu melihat pembangunan di tempat mereka.
Kehadiran menteri kanan itu adalah hasil inisiatif Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) oleh kerajaan Perpaduan, yang bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung.
Fadhlina menghabiskan seharian untuk melawat sekolah dan beberapa buah rumah di kampung tersebut yang menjadi Kampung Angkat Menteri Pendidikan.
Beliau berkata, dirinya selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan melahirkan kegembiraan apabila tidak berlaku soal keciciran pendidikan di kampung tersebut.
Menteri itu berkata, peruntukan untuk membangunkan beberapa infrastruktur seperti keselamatan kawasan sekolah, gelanggang futsal, padang dan jambatan kecil turut diluluskan.
“Dalam tempoh tiga bulan, kita akan kembali semula untuk melihat perkembangan khususnya projek-projek infrastruktur yang telah pun diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Santuni Madani Menteri Pendidikan di Kampung Kuak Hulu yang diadakan di SK Kuak Hulu di sini hari ini.
Fadhlina menjelaskan antara sebab kawasan itu dijadikan Kampung Angkat Menteri Pendidikan adalah untuk memberikan perhatian pembangunan memandangkan ia terletak di hulu negeri Perak yang jauh dari pusat kegiatan ekonomi utama.
Sektor pelancongan merupakan sektor ekonomi yang boleh menjadi batu loncatan untuk memajukan Kampung Kuak Hulu dan keseluruhan Pengkalan Hulu, menurut menteri itu lagi.
Antara keunikan kawasan itu ialah aktiviti tradisional seperti perlumbaan rakit, masakan kampung, gaya hidup tradisi kampung serta mempunyai kecantikan panorama kawasan berbukit.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada pemberita, program yang diadakan itu juga dapat memperkayakan sikap cakna pemimpin untuk menyantuni dan menjadi suri teladan kepada penduduk kampung yang dipilih dan memupuk budaya kesetiaan dan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin terhadap kampung kelahiran.
“Kebetulan kampung ini kampung kelahiran ibu saya. Saya fikir sudah sampai masa saya kembali untuk memberikan khidmat bakti di sini,” kata Fadhlina.
Kampung itu mempunyai lebih 1,700 penduduk daripada 349 keluarga dengan sumber ekonomi penduduk adalah dalam bidang pertanian, penternakan, perikanan dan perniagaan.
Menurut KPM lagi, antara tumpuan program adalah untuk menangani kemiskinan, meningkatkan akses pendidikan, kesihatan, pengangguran, keselamatan, isu sosial, infrastruktur dan alam sekitar.
Seorang penduduk, Mek Besar Ismail, 80 tahun, yang rumahnya dikunjungi Fadhlina, berasa terharu dengan kehadiran menteri itu dan mengharapkan pembangunan dapat dibawa ke kampung tersebut. – UTUSAN











