KUANTAN: Ibu bapa seorang lelaki Orang Asli Kampung Runchang yang meninggal dunia ketika berada dalam lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 3 Mei lalu menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa berhubung kematian anak mereka.
Noriah Hitam, 51, berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih belum mendapat penjelasan sebenar bagaimana Norazman Me, 25, boleh bertindak menggantung diri ketika dalam pengawasan polis.
Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan anaknya ditangkap pada 1 Mei lalu kerana disyaki mencuri motosikal, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis.
“Saya tahu anak saya ada masalah (ditangkap polis). Tapi saya percaya kepada polis. Bila kena tangkap, polis akan jaga.
“Ya, mungkin anak saya gantung diri, tetapi kenapa mereka tidak jaga? Bukankan ada CCTV (kamera litar tertutup)? Bukankah ada rondaan pada malam itu?” soalnya ketika ditemui pemberita di firma guaman Bob S. Arumugan & Co di sini, semalam.
Sementara itu, anak perempuan mereka, Rodiah Me, 19, dikatakan telah ke IPD Pekan untuk melihat CCTV kejadian, namun tidak dibenarkan pihak polis berikutan perlu membuat surat permohonan terlebih dahulu.
“Jadi, kami sehingga kini tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian, bagaimana anak kami itu boleh menggantung diri,” katanya lagi.
Tidak berpuas hati dengan cara kematian abangnya, Rodiah kemudian bertindak menemui peguam, Datuk Bob S. Arumugam yang kemudiannya dilantik bagi mewakili keluarga itu termasuk membantu membawa mereka membuat laporan polis pada 20 September lalu.
Laporan polis berkenaan dibuat berikutan rasa tidak puas hati sekali gus merayu pihak berkuasa membuat siasatan terperinci dan adil tentang kejadian.
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan awal susulan insiden membabitkan Norazman.
“Tangkapan dibuat kerana kesalahan mencuri motosikal. Ditahan di lokap IPD Pekan dan dijumpai dalam keadaan menggantung diri.
“Kes ini telah dibuka kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kematian,” katanya yang turut memaklumkan bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi tujuan penjelasan lanjut berkaitan kes itu. – UTUSAN











