GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Kampung Serian di sini diselubungi ketakutan berikutan kehadiran seekor gajah liar ke penempatan dan kebun mereka sejak dua minggu lalu.
Kelibat gajah jantan itu menyebabkan rutin harian pekebun dan penoreh getah terganggu kerana terpaksa mengehadkan waktu berada di kebun disebabkan bimbang dengan keselamatan mereka.
Pekebun, Muhamad Rofi Ismail, 58, berkata, haiwan liar itu dipercayai masih berada di dalam kawasan kebun apabila mereka menjumpai banyak kesan tapak kaki dan najis gajah.
Menurutnya, gajah tersebut bukan sahaja berehat dalam kebun tetapi merosakkan pokok getah dan pokok buah-buahan seperti pisang selain dokong yang diusahakan penduduk.
“Gajah liar itu dilihat berada berhampiran rumah penduduk dan minum air dalam tong yang disimpan di tepi rumah pada Jumaat minggu lalu,” katanya ketika ditemui di sini.
Muhamad Rofi memberitahu, keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa keluar secara berkumpulan untuk menoreh getah atau melakukan kerja di kebun secara singkat bermula pukul 8 hingga 11 pagi kerana tidak mahu terserempak dengan gajah.
Katanya, laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan siasatan termasuk pemantauan telah dilakukan anggota jabatan tersebut.
Penoreh, Azaham Mat Raji, 23, pula berkata, dia melihat dengan jelas kelibat gajah liar terbabit beberapa hari lalu dan sempat merakam gerak-geri haiwan itu menggunakan telefon pintarnya.
“Saya dapat lihat gajah bergading dalam kebun dengan kedudukan jarak lebih tiga meter. Saya harap Perhilitan dapat ambil tindakan mengusir gajah itu kerana bimbang dengan keselamatan nyawa penoreh dan pekebun,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, selain Kampung Serian, penduduk kampung lain seperti Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap dan Pos Pasik turut menerima ancaman gajah liar. – UTUSAN











