Kesakitan emosi punca remaja cederakan diri

Kesakitan emosi punca remaja cederakan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKALI-KALI melukakan pergelangan tangan dengan menggunakan objek tajam dan makan ubat-ubatan seperti paracetamol secara berlebihan adalah antara ‘kaedah’ dilakukan golongan remaja untuk mencederakan diri mereka. 

Situasi ini sangat membimbangkan kerana gejala mencederakan diri berisiko menyebabkan kematian akibat bunuh diri. 

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Dr. Tengku Mohd. Saifuddin Tengku Kamarul Bahri berkata, perbuatan mencederakan diri merupakan petanda seseorang berdepan kesakitan emosi. 

Kesakitan emosi merujuk kepada  kiran dan perasaan yang bercampur-baur, menyeksakan serta mengelirukan individu. 

Ada kalanya seseorang turut berdepan tindak balas seperti sakit badan atau perut. 

“Terdapat banyak faktor yang mencetuskan kesakitan emosi kerana ia melibatkan aspek-aspek dalam kehidupan misalnya kehilangan orang tersayang, masalah perhubungan atau sosial. 

“Malah, ia juga boleh berpunca akibat rasa terancam dan tidak selamat yang dialami remaja,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Bagaimanapun, di sebalik kesengsaraan dan kesakitan emosi itu, hakikatnya terdapat suatu kemahuan dan keinginan yang gagal dicapai seseorang. 

Antara kemahuan itu ialah untuk sentiasa disayangi, dilindungi dan tidak dihakimi atau dipandang negatif.

“Manusia tidak boleh lari daripada cabaran atau rintangan dalam hidup, dan terdapat 1,001 sebab yang membuatkan seseorang sedih, marah, risau dan malu. 

“Namun, jika tidak diuruskan dengan baik, kesakitan emosi itu boleh melarat dan berpanjangan, hingga membawa kepada  kiran untuk mati,” katanya. 

 

FIKIRAN UNTUK MATI 

Kesakitan emosi yang tidak dirawat boleh menyebabkan remaja memilih pendekatan salah iaitu mencederakan diri mereka. 

Perbuatan ‘merosakkan’ bahagian badan sama ada kecil atau serius itu dikatakan dapat ‘melegakan’ penderitaan dialami. 

Contohnya, dengan melukakan pergelangan tangan berkali-kali. 

Tengku Mohd. Saifuddin berkata, segelintir individu mungkin mempunyai lintasan fikiran atau keinginan untuk mati, namun tidak mempunyai niat atau rancangan melakukannya. Ia disebabkan takut pada kematian dan kesakitan. 

“Seteruk manapun idea itu muncul sama ada dalam bentuk imej atau gambaran minda, mereka masih mahu hidup dan tiada keinginan untuk mati. 

“Tetapi, isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana terdapat beberapa faktor yang mengatasi perasaan takut dan naluri tersebut,” katanya. 

Faktor itu adalah pendedahan kepada cara mencederakan diri dan pengalaman yang menyebabkan rasa takut terhadap mati berkurangan kesakitan semakin meningkat. 

Laporan Tinjauan Kebangsaaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022: Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum mendedahkan satu daripada 10 remaja dikenal pasti pernah mencuba membunuh diri. 

Justeru, tidak hairanlah trend cubaan membunuh diri meningkat daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus atau lebih 3,000 remaja pada 2022. 

Tengku Mohd. Saifuddin berkata, kajian turut mendapati remaja seawal usia 13 tahun pernah terfikir untuk membunuh diri. 

 

USAH HUKUM DIRI 

Remaja diingatkan agar tidak menghukum diri dengan perasaan yang dialami apatah lagi berasa malu dengannya. 

Penerimaan terhadap perkara yang menyakitkan sama ada di masa lalu atau sekarang diyakini dapat melegakan penderitaan tersebut. 

Dalam masa sama, ia dapat mengurangkan kekecewaan di samping lebih bermanfaat untuk jangka masa panjang. 

“Manusia tidak dapat lari daripada situasi yang menyakitkan seperti kehilangan, kematian, perceraian dan kemalangan. 

“Situasi yang menyakitkan itu menyebabkan kita cuba mencari-cari maksudnya dan tertanya-tanya mengapa ia berlaku, 

“Namun pencarian itu mungkin menyebabkan kita terperangkap dan mentafsirnya sebagai sesuatu yang tidak adil lantas menyalahkan diri atas apa yang berlaku,” katanya. 

 

URUS EMOSI 

Kesakitan emosi boleh diatasi dengan cara mengenal pasti puncanya. 

Langkah itu sekali gus membantu mengurangkan gejala mencederakan diri dan fikiran ingin mati. 

“Kadang-kala mungkin sukar untuk seseorang menentukannya kerana merasakan kehidupannya adalah punca kepada kesakitan. 

“Selain itu, cuba terima rasa sakit dan usah menidakkannya kerana ia hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya. 

Segelintir individu cuba mengelakkan rasa sakit tersebut dengan tingkah laku memudaratkan seperti pengambilan dadah berbahaya dan alkohol. 

Namun, cara tersebut hanya memberi kelegaan sementara tetapi bagi jangka masa panjang, menyebabkan ketagihan dan membawa kemudaratan. 

Tengku Mohd. Saifuddin berkata, berdamai dan mengakui rasa sakit dapat membantu seseorang meringankan kesakitan emosi. 

Pesakit juga boleh merujuk kepada bahan bacaan dan aplikasi telefon pintar yang mengajar tentang teknik pengurusan emosi. 

Aplikasi BE N.i.C.E atau Belajar dan Latih Sehingga Cekap Emosi adalah antara yang direka untuk membekalkan pengetahuan dan kemahiran bagi menguruskan tingkah laku mencederakan diri secara berkesan. 

Beliau turut menyeru masyarakat supaya mengubah cara melihat isu itu dengan sifat rahmah dan tidak menghukum. 

“Sebagaimana seseorang yang sakit tubuh badan pergi berjumpa doktor, hal yang sama harus dilakukan sekiranya emosi berada dalam keadaan sakit yang mendalam dan berpanjangan. 

“Masyarakat juga perlu membantu mereka yang mencederakan diri dan mempunyai  kiran untuk mati agar segera mendapatkan rawatan profesional dalam bidang kesihatan mental,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×