Selepas berkahwin, wanita sering diingatkan untuk ‘bekerja keras’ supaya suami tidak ‘lari’. Antara ‘kerja keras’ itu adalah menjaga perut suami, menjaga tempat tidur dan yang paling penting, berhias supaya suami tidak memandang wanita lain.
Persoalannya di sini, adakah hanya wanita yang perlu menjaga penampilan dan bersiap untuk suami bagi menjaga keharmonian rumahtangga? Bagaimana pula dengan suami?.
Jika difikirkan, perubahan fizikal bukan hanya berlaku kepada wanita sahaja tetapi suami turut mengalaminya.
Mengulas mengenai persoalan itu, Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salina Nen berkata, norma masyarakat yang hanya mementingkan penampilan isteri adalah tidak tepat.
Menurutnya, menjaga penampilan adalah tanggungjawab bersama suami isteri sebagai pasangan.
“Saya kira bukan lelaki sahaja yang melihat penampilan menarik dalam diri seorang wanita, sebaliknya wanita turut mempunyai persepsi yang sama.
“Hanya keutamaan mungkin berbeza di antara lelaki dan wanita. Tapi pada masa sekarang, ramai wanita yang mempunyai lebih keyakinan dan bebas menyuarakan pendapat. Mereka turut mempunyai jangkaan sama terhadap penampilan lelaki sama seperti jangkaan lelaki terhadap wanita,” katanya kepada Seri.
Lelaki Dominasi
Mengapa penekanan hanya diberikan terhadap wanita? Salina menjelaskan ia berkait rapat dengan budaya yang mendominasi sesebuah masyarakat.
Masyarakat dunia sejak dahulu banyak didominasi oleh budaya partiarki yang secara amnya mengutamakan lelaki dan banyak sistem dalam masyarakat diatur berdasarkan dunia pandang (world view) maskulin atau lelaki.
“Malaysia juga tidak terkecuali. Salah satu elemen dalam sistem partiarki adalah standard kecantikan yang menekankan keutamaan kepada kecantikan dan penampilan wanita manakala, lelaki pula lebih berfokus kepada kuasa dan maskuliniti.
“Sistem partriarki ini telah menetapkan secara spesifik peranan gender lelaki dan perempuan. Dalam konteks ini, kecantikan adalah peranan dan ekspektasi yang diberikan keutamaan kepada wanita dan bukannya lelaki,” ujarnya.
Oleh itu tambahnya, wanita berterusan berada dalam tekanan untuk menjaga penampilan tidak kira apa jua status, sama ada bujang, berkahwin, muda mahupun tua.
Situasi itu sudah pasti sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kaum hawa.
Perubahan fizikal suami
Salina berkata, kebiasaannya perubahan fizikal akan berlaku kepada suami dan isteri selepas berkahwin.
Bukan hanya isteri, suami juga mengalami pertambahan berat badan sama ada secara perlahan-lahan atau mendadak.
Keadaan itu seringkali berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya perubahan gaya hidup dan situasi kehidupan selepas berkahwin.
“Lazimnya, selepas berkahwin, akan mempunyai anak. Selain bekerja, suami isteri juga kini mempunyai banyak komitmen lain dalam rumahtangga terutamanya anak.
“Jadi, ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan gaya hidup yang dulu mungkin aktif diamalkan oleh wanita dan lelaki semasa bujang seperti berjoging, ke gimnasium, mendaki gunung, beriadah dan aktiviti sihat yang lain,” katanya.
Faktor penyebab lain adalah kerana pasangan berada dalam zon selesa.
Di mana mereka tidak lagi merasa tekanan untuk mencari pasangan, maka tekanan untuk tampil menarik dan cantik itu sudah reda.
Pasangan biasanya akan lebih bersikap sambil lewa dalam aspek penjagaan diri mereka.
Eratkan hubungan
Antara kelebihan apabila suami turut serta menjaga penampilan seperti isteri adalah ia dapat mengukuh dan mengeratkan lagi kasih sayang.
Apabila berasa positif dan berkeyakinan tentang penampilan diri, individu juga cenderung lebih positif apabila berinteraksi dengan orang lain khususnya pasangan.
“Pasangan juga akan merasa lebih seronok kerana mempunyai pasangan yang sihat, aktif dan berpenampilan menarik.
“Ia sudah pasti menjadikan hubungan suami isteri lebih sihat dan berkualiti. Proses untuk menjadi tampil menarik itu juga akan mengukuhkan hubungan suami isteri apatah lagi jika aktiviti tersebut dilakukan secara bersama-sama.
“Aktiviti ini boleh menjadi rutin bersama dalam rumahtangga. Suami isteri boleh berkongsi ilmu, tips dan aktiviti sihat ini di dalam mahupun di luar rumah. Sudah pasti ia membentuk interaksi yang lebih baik kepada hubungan suami isteri dalam banyak aspek merangkumi fizikal, sosial dan psikologikal,” ujarnya lagi.
Impak kesihatan
Bersiap untuk isteri bukan sahaja memberikan keseimbangan dalam aspek perhubungan dan membahagiakan isteri.
Malah, ia juga mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan tubuh badan kerana elemen penting dalam penampilan diri adalah penjagaan fizikal.
“Pengabaian penjagaan fizikal mempunyai impak kesihatan dan psikologikal.
“Bila kita mengabaikan kesihatan fizikal, ia boleh menjadi punca kepada tekanan mental seperti rasa tertekan, kemurungan dan kebimbangan.
“Individu juga berisiko untuk menghidap pelbagai penyakit seperti obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis. Penyakit-penyakit ini mempunyai kaitan dengan gaya hidup tidak sihat dan tidak aktif,” tambah Salina.
Tegurlah suami
Tegas Salina, mempunyai penampilan yang menarik dalam perkahwinan bukanlah satu persaingan antara suami dan isteri.
Ia boleh menjadi salah satu senarai kepentingan dalam perkahwinan kerana impaknya kepada hubungan dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, bagi isteri yang mahu suami menjaga penampilan harus mula memberikan penerangan dan dorongan secara berhemah agar tidak mengguris perasaan.
“Isteri boleh memainkan peranan proaktif dengan memberi penerangan kepada pasangan masing-masing tentang faedah menjaga penampilan, memberi hadiah dalam bentuk peralatan atau pakaian sukan dan mengajak pasangan untuk turut terlibat dengan aktiviti sihat yang menjurus kepada penampilan sihat.
“Kaedah ini lebih berhemah berbanding mengkritik pasangan. Apapun, pasangan adalah teman hidup kita, jadi berikan aura positif dalam rumahtangga untuk mendorong perubahan. Bukannya dengan menyebarkan aura negatif melalui kritikan dan penghinaan,” ulasnya.
Jaga Kebersihan
Sementara itu, Perunding Imej Professional Bertauliah dari JWProstyle, Jamiliah Abd. Wahab berkongsikan tips untuk para suami tampil lebih menarik di hadapan isteri.
Katanya, penampilan menarik bukan semata-mata bergaya dengan pakaian mewah, berjenama dan sarat dengan pelbagai warna atau perincian.
Sebaliknya, cukup hanya dengan tampil kemas dan menjaga kebersihan diri sudah mampu memberikan imej menarik seorang lelaki.
“Sebagai ketua keluarga, sangat penting seorang suami untuk menjaga keterampilan diri tidak kira di dalam atau luar rumah. Tidaklah selalu, kerana kita sebagai manusia biasa pasti ada masanya ingin bermalas-malasan.
“Tetapi ambil peduli tentang penjagaan kebersihan diri seperti menjaga kekemasan misai, janggut dan rambut secara berkala. Barulah isteri pun akan rasa seronok lihat suami di rumah,” katanya.
Selain itu, katanya, lelaki juga perlu tahu kesesuaian berpakaian mengikut keperluan semasa dan tidak hanya bersiap secara ala kadar sahaja.
Katanya, lelaki kebiasaannya sering memakai baju yang sama berulang kali atau memakai seadanya sahaja untuk ke sesuatu tempat atau majlis.
“Penting kena tahu berpakaian ikut tempat. Kita suka isteri bergaya, sudah tentu isteri pun begitu juga. Kita suka isteri wangi, isteri pun suka juga jika suami wangi.
“Oleh itu, sesuaikan penampilan dengan situasi semasa. Di rumah pun kena wangi-wangi dan bergaya juga untuk isteri.
“Daripada segi kasut, lelaki seharusnya ada set kasut yang lengkap untuk keperluan pelbagai seperti untuk majlis formal, santai dan bersukan. Tidaklah sepanjang masa nanti asyik berselipar ke mana-mana. Bukan tidak boleh pakai selipar, tetapi ikut kesesuaian,” katanya lagi.
Buncit bukan alasan
Tambahnya, lelaki juga perlu mengorek ilmu mengenai berpakaian supaya tampil lebih bergaya.
Lazimnya, lelaki yang sudah berkahwin akan memiliki perut yang sedikit buncit, namun ia bukan alasan untuk tidak bergaya.
“Lelaki buncit masih boleh bergaya asalkan tahu memilih jenis dan fabrik sesuai.
“Contohnya kemeja, bagi yang mempunyai perut sedikit ke hadapan perlu memilih kemeja yang ada pleat di belakang supaya ada ruang di bahagian perut jadi perut tidak akan begitu kelihatan.
“Sebaiknya, elakkan membeli baju daripada material kain getah atau lycra kerana fabrik berkenaan jenis melekat di badan dan akan menyerlahkan lagi bahagian-bahagian yang timbul,” ulasnya.
Suami pun janganlah ‘serabai’
TIDAK lama dulu, saya ada terbaca di media sosial, isu mengenai suami selekeh. Ramai yang memberikan komen termasuk satu komen yang datangnya daripada seorang lelaki. Katanya, biarlah suami selekeh asalkan mereka beri keluarga makan sedap-sedap.
Komennya itu kemudian dijawab oleh seorang wanita – Ramai saja suami yang selekeh dan buncit itu, kedekut pula.
Selalunya isu-isu sebegini bila dibincangkan secara terbuka, akan mengundang komen-komen yang pelbagai dan menggelikan hati. Yang mengulas pula macam melepaskan geram.
Iyalah, yang selalu kita dengar, suami sering mengadu dan menjadikan bahan jenaka – isteri sudah tidak pandai jaga badan sejak kahwin.
Isteri di rumah hanya pakai baju kelawar, rambut tidak terurus, muka tidak berbedak dan badan bau peluh kerana membuat kerja-kerja rumah.
Apabila keluar pula, isteri terlalu simple. Contohnya, tudung main sarung saja, baju pun macam duduk di rumah dan menyarung selipar saja.
Maka ini dijadikan alasan untuk suami yang berhidung belang terutamanya mencari perempuan lain di luar. Yang dirasakan lebih menarik dan pandai bergaya. Alasan mereka – Nak salahkan siapa?
Jika inilah yang dijadikan alasan untuk suami beralih kepada yang lain tetapi pada masa sama, dia pun tidak perasan fizikalnya turut berubah, ini yang dikatakan mengata orang, dia pun dua kali lima.
Sebabnya, boleh dikatakan ramai juga lelaki yang penampilannya berubah 100 peratus apabila sudah berkahwin. Hal perut yang paling ketara.
Mereka mahukan isteri menjaga penampilan tetapi mereka sendiri malas menjaga badan. Perut buncit dibiarkan saja. Kononnya lambang kebahagiaan. Walhal perut buncit juga boleh memberi petanda penyakit.
Suami juga ramai yang serabai, muka tidak kemas. Jambang dan misai bersepah, tetapi ia jarang sekali dikritik oleh isteri kerana rasa sayang melebihi segala-galanya.
Apa salahnya, dua-dua menjaga penampilan di rumah mahukan di luar rumah untuk merasa feel good untuk pasangan dan diri sendiri.
Dan suami juga kalau mahukan isteri cantik, janganlah kedekut untuk keluar duit membelikan baju, tudung atau alat solek isteri. Mahu macam-macam, tapi berkira sangat untuk mencantikkan isteri.
Seorang lelaki memberitahu saya, suami tidak boleh terlalu menonjolkan diri dan segak bergaya seperti masa bujang dulu, nanti isteri cemburu.
Mungkin itu alasannya untuk terus mengekalkan perut buncit. Malas bersenam. Saya rasa begitulah.
—-
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










