PETALING JAYA: Lebih RM429 juta diperuntukkan dari 2023 hingga tahun ini untuk memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan operasi tiga agensi penguatkuasaan utama di Johor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Penjara.
Katanya, ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap negeri menerima sokongan diperlukan berdasarkan keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Johor turut menikmati peningkatan peruntukan pembangunan dan pengurusan kepada kira-kira RM14.6 bilion berbanding RM10.2 bilion sebelum ini.
“Bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN), lebih RM429 juta diperuntukkan bagi tempoh 2023 hingga 2026 untuk memperkukuh kebajikan anggota serta meningkatkan keupayaan operasi badan penguatkuasaan PDRM, JIM dan Jabatan Penjara di Johor.
“Menjaga kebajikan anggota bukan sekadar menyediakan kemudahan yang lebih baik, sebaliknya merupakan pelaburan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan amanah dengan lebih cekap, selamat dan berkesan demi menjamin keselamatan bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin berkata, jumlah itu merangkumi RM174.8 juta bagi projek yang telah siap dan sedang dalam pelaksanaan manakala RM255 juta lagi bagi projek dalam perancangan.
“Antara projek sedang dilaksanakan adalah perolehan tanah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengerang, pembelian premis dan kuarters JIM Johor Bahru serta naik taraf pelbagai kemudahan asas di Penjara Kluang.
“Bagi projek dalam perancangan, ia merangkumi pembinaan IPD Segamat serta balai polis dan perumahan, penggabungan dewan penumpang bas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta naik taraf bengkel dapur Penjara Kluang dan sistem bekalan air Penjara Simpang Renggam,” katanya.
Katanya, apabila anggota penguat kuasa mempunyai tempat bertugas yang kondusif, kuarters lebih selesa serta kemudahan operasi moden, rakyat dapat menikmati manfaat menerusi penyampaian perkhidmatan lebih baik dan persekitaran yang sejahtera.
“KDN akan terus memastikan setiap peruntukan yang diamanahkan dimanfaatkan sebaiknya supaya kebajikan anggota sentiasa terpelihara, sekali gus memperkukuh keselamatan bangsa Johor dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-UTUSAN










