PRN Johor: Dulu kata pegang 10 MP PKR, sekarang tinggal berapa? - AMK tanya Rafizi

PRN Johor: Dulu kata pegang 10 MP PKR, sekarang tinggal berapa? – AMK tanya Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu melontarkan pertanyaan secara terbuka kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, berapa ramai sebenarnya ahli Parlimen (MP) PKR yang masih bersama dan menyokong beliau kerana semakin kuat khabar angin mengatakan lebih 50 peratus telah lari meninggalkan beliau.

Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol berkata, kalau benar Rafizi begitu hebat, begitu berpengaruh dan mempunyai sokongan luar biasa seperti yang sering digambarkan, mengapa semakin ramai sekutu politiknya memilih untuk menjauhkan diri.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa mereka yang dahulu dianggap sebagai ‘orang kuat Rafizi’ tidak turun beramai-ramai membantu kempen Parti Kancil?

“Mungkin sudah tiba masanya Rafizi menerima satu hakikat yang pahit bahawa selama ini beliau kelihatan besar kerana berdiri di atas pentas sebuah parti yang besar.

“PKR memberinya jentera. PKR memberinya akar umbi. PKR memberinya ruang. PKR memberinya kedudukan. Dan PKR juga yang membawa namanya masuk ke setiap pelosok di negara ini.

“Rafizi perlu faham bahawa kepetahan bercakap di media sosial dan di pentas bukan jaminan kekuatan politik.

“Angka di media sosial bukan jentera pilihan raya. Podcast bukan cawangan parti. Like dan share bukan undi, dan keyakinan bahawa hanya dirinya sahaja yang betul bukanlah satu formula mentadbur negara,” katanya dalam kenyataan.

DZUL HILMI ZAINOL

Menurut Dzul Hilmi, PKR lahir daripada perjuangan panjang, pengorbanan reformis, kesetiaan akar umbi dan kepercayaan rakyat.

Katanya, parti ini pernah berdepan penjara, tekanan, pengkhianatan dan krisis yang jauh lebih besar daripada seorang individu yang kecewa kerana tidak lagi mampu menentukan hala tuju parti.

“Jadi mesej saya kepada Rafizi sangat mudah. Rafizi pernah berada dalam PKR, tetapi Rafizi bukan PKR.

“PKR membantu membesarkan nama Rafizi. Jangan sampai Rafizi tersilap menyangka bahawa Rafizi yang membesarkan PKR,” katanya.

Justeru kata beliau, kalau benar beliau yakin mempunyai sokongan besar, tunjukkan dan beritahu rakyat berapa ramai Ahli Parlimen PKR yang benar-benar sanggup berdiri bersamanya secara terbuka.

Ini kerana katanya, dalam politik, dakwaan boleh dibuat setiap hari, tetapi apabila satu demi satu sekutu mula menjauh, rakyat juga boleh melihat siapa sebenarnya yang semakin kehilangan pengaruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN