KOTA TINGGI: Serangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan ‘modal basi’ ketika berkempen.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, serangan peribadi yang dilemparkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh berkempen tidak mampu menggugat sokongan rakyat negeri ini.
”47 kes itu sebenarnya sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada bukti wang yang digunakan itu melibatkan rasuah.
“Malah, 40 kes beliau sebelum ini juga telah dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah yang mana hakim sendiri menyebut saksi pendakwaan adalah saksi bohong,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra bersama penduduk di Wisma GPW Felda Air Tawar 2 di sini, semalam.
Sebelum ini, ketika ceramah Rapat Orang Sedili di Kampung Mawai Baru, Muhyiddin berkata, Ahmad Zahid memilih untuk bergabung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk Kerajaan Perpaduan supaya kedudukannya lebih selamat.
Beliau mendakwa, Ahmad Zahid terpalit dengan 47 kes mahkamah yang telah dibicarakan selama bertahun-tahun dan walaupun telah dipanggil membela diri kerana wujudnya kes prima facie yang kukuh, kes tersebut akhirnya ditangguhkan di bawah proses pelepasan tanpa pembebasan.
Ahmad mendedahkan, segala siri pertuduhan dan tekanan politik yang dihadapi kepemimpinan UMNO ketika ini telah terancang sejak pilihan raya umum (PRU) lalu.
Katanya, kemelut tersebut sengaja diwujudkan selepas Ahmad Zahid berkeras enggan tunduk kepada desakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu UMNO dibubarkan.
”Ini sebenarnya kes politik. Tun Dr. Mahathir sendiri mengaku beliau minta Zahid bubarkan UMNO, tetapi apabila Presiden enggan, maka kes-kes ini diwujudkan.
”Ada tiga nama disebut dalam Sarawak Report sebelum ini iaitu nama saya, Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Saya dan Shahrir melawan (di mahkamah) manakala Mas Ermieyati tidak kena apa-apa tindakan. Kenapa? Sebab dia serah borang masuk Bersatu kepada Tun Mahathir.
”Kalau hari itu saya pun serah borang masuk Bersatu, tak adalah saya kena naik turun mahkamah. Tetapi sekarang, alhamdulillah saya dan Shahrir sudahpun lepas dan bebas,” katanya.-UTUSAN










