Mengapa suami saya dibunuh? - Akie Abe

Mengapa suami saya dibunuh? – Akie Abe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘SEHINGGA kini, saya masih tidak memahami mengapa suami saya dibunuh.’

Demikian luahan balu kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang sehingga kini masih mencari jawapan terhadap pembunuhan suaminya empat tahun lalu.

Akie Abe, 64, berkata demikian dalam temu bual bersama The Japan News sempena ulang tahun keempat pembunuhan Abe, yang ditembak mati ketika menyampaikan ucapan kempen di bandar Nara pada Julai 2022.

Beliau berkata, meskipun sudah mendengar sendiri penjelasan tertuduh, Tetsuya Yamagami, 45, ketika menghadiri perbicaraan pada Disember tahun lalu, persoalan mengenai motif pembunuhan itu masih belum terjawab.

“Saya mahu bertemu tertuduh dan bertanya kepadanya,” kata Akie.

Sebanyak 16 prosiding perbicaraan membabitkan juri awam terhadap Yamagami berlangsung di Mahkamah Daerah Nara antara Oktober 2025 hingga Januari lalu.

SEORANG lelaki memberi penghormatan terakhir semasa upacara memperingati ulang tahun pertama kematian Shinzo Abe di Kuil Zojoji di Tokyo. – AFP

Akie menghadiri prosiding ke-13 pada 3 Disember di bawah sistem penyertaan mangsa kerana mahu ‘mengesahkan sendiri’ dengan mata dan telinganya.

“Rambutnya (Yamagami) sudah lebih panjang dan kelihatan cengkung berbanding rakaman ketika kejadian yang telah saya tonton berkali-kali.

“Malah ketika sesi pemeriksaan balas, saya tidak merasakan dia berniat untuk menyangkal hujah yang dikemukakan pihak pendakwaan,” kata Akie, mengimbas pertemuan pertama dengan tertuduh yang membunuh suaminya.

Perbicaraan itu mendedahkan kehidupan sukar Yamagami, termasuk keruntuhan keluarganya akibat sumbangan ibunya berjumlah 100 juta yen (RM2.5 juta) kepada Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia, juga dikenali sebagai Gereja Penyatuan.

Akie bagaimanapun menegaskan latar belakang kehidupan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan jenayah.

“Saya sama sekali tidak mahu melihat wujud tanggapan membunuh boleh diterima hanya kerana seseorang dibesarkan dalam persekitaran yang bermasalah,” katanya.

KONGSI PENGALAMAN

Sebagai isteri kepada seorang ahli politik, Akie percaya membantu golongan rentan dan memerlukan sokongan adalah antara isu yang amat penting.

BALU bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menerima abu mayat suaminya pada akhir pengebumian negara di Nippon Budokan di Tokyo pada 27 September 2022. – AFP

Yamagami memberitahu mahkamah dia menyasarkan Abe kerana mendakwa bekas perdana menteri itu berada di tengah-tengah hubungan antara kultus dan politik. Namun, Akie tidak dapat menerima penjelasan berkenaan.

“Suami saya bukan pemimpin kultus itu. Jadi mengapa suami saya? Mengapa dia membunuh suami saya yang langsung tiada kaitan dengannya. Penjelasan itu langsung tidak masuk akal,” katanya.

Walaupun ramai pihak terutama di media sosial menggesa supaya Yamagami dijatuhi hukuman mati, Akie berkata, sejak sebelum perbicaraan bermula lagi beliau tidak mahu tertuduh dikenakan hukuman tersebut.

“Saya mahu dia berdepan dengan jenayah yang dilakukannya dan menyesalinya sepanjang berada di penjara, walaupun dia tidak akan mampu menebus dosanya.

Akie berkata, beliau tidak pernah menerima sebarang surat permohonan maaf daripada tertuduh, malah Yamagami juga tidak pernah memohon maaf secara langsung kepadanya sepanjang perbicaraan.

“Saya tidak lagi mengharapkan permohonan maaf. Apa pun yang dikatakan, ia tidak akan mengembalikan suami saya.

“Tetapi selepas perbicaraan ini selesai, saya mahu melawatnya di penjara dan bertanya mengapa dia menyasarkan suami saya,” katanya.

TETSUYA Yamagami, lelaki yang dituduh membunuh Shinzo Abe, dikawal polis ketika meninggalkan pejabat pendakwa raya di Nara pada Julai 2022. – AFP

Mengenang suaminya, Akie berkata, sebagai seorang isteri sudah tentu beliau berharap Abe masih hidup.

Namun, beliau menganggap bekas perdana menteri itu menjalani kehidupan yang bermakna selepas memimpin Jepun untuk tempoh yang panjang dan turut diberi penghormatan menerusi upacara pengebumian negara.

Sepanjang empat tahun lalu, Akie berkata beliau sering dijemput untuk berkongsi cerita mengenai Abe atau menghadiri pelbagai program bagi menggantikan suaminya.

“Suami saya dibunuh, tetapi saya tidak akan keluar untuk membunuh pelakunya. Saya akan terus berkongsi pengalaman sebenar itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN