JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk bertanding solo bukan sahaja di peringkat pilihan raya negeri (PRN), malah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu tidak gentar dengan ugutan mana-mana pihak, sebaliknya bersedia memulangkan hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.
“Kalau betul mereka rasa dah tiba waktu pilihan raya bermula di Johor, kita akan sambung di Negeri Sembilan dan mungkin, mungkin kita lempar biar rakyat tentukan satu Malaysia.
“Kita dikejutkan dengan keputusan UMNO, Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi (PRN Johor). Hari ini PH ambil keputusan tegas, kita akan bertanding di semua kawasan, saya akan bincang apakah kita sedia lakukan Selangor, Pulau Pinang, Pahang semua kawasan.
“Kita tak makan ugutan, tidak gentar, penjara sudah, ini pula nak ditakutkan oleh budak-budak, tidak mungkin. No way. Jadi kalau betul sudah penat dengan Kerajaan Perpaduan, kita kembalikan kepada rakyat bukan sahaja di Johor tetapi seluruh negara, ini semangat reformasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan amanat Pengerusi PH dihadapan lebih 9,000 ahli parti komponen semasa Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH masih membuka ruang kerjasama kepada mana-mana parti demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Kalau mereka mula langgar, kita akan jawab dengan tegas tetapi kalau mereka berunding dengan baik kita terbuka, saya sambut dengan baik, dengan sabar dan dengan bijak kerana mahu selamatkan negara.
“Saya akan panggil pimpinan PH dalam masa terdekat apakah kita akan pilih adakan PRU seluruh negara, memang tarikhnya keputusan Perdana Menteri tetapi biarlah ia diputuskan bersama, saya dengar nasihat kawan-kawan,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, PH tidak pernah mengkhianati mana-mana parti sepanjang tempoh tiga tahun lebih Kerajaan Madani.
“Sepanjang tiga tahun Madani, kita tak pernah hasut kawan-kawan untuk lawan atau khianati sesiapa. Tiada sebab kita pecahkan kerjasama ini melainkan dikhianati oleh mereka. PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) kental.
“Dalam Kerajaan Perpaduan, negeri dikuasai pembangkang pun saya gunakan semangat Perlembagaan dan tunaikan janji, ini bukan bererti kita lemah sebaliknya mesej jelas kita ambil pendekatan hikmah, berunding dengan baik tetapi jangan salah faham,” katanya. – UTUSAN










