Azizulhasni menang perak keirin di Piala Trek Jepun 2

Azizulhasni menang perak keirin di Piala Trek Jepun 2

DATUK Azizulhasni Awang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus membuktikan dirinya masih belum kehilangan sentuhan apabila meraih pingat perak dalam acara keirin Piala Trek Jepun 2 di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.

Beliau yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pelumba tuan rumah, Shinji Nakano.

Seorang lagi wakil Jepun, Shoichi Ona melengkapkan podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Aksi final bagaimanapun menyaksikan drama tersendiri apabila pelumba Jepun, Kaiya Ota yang terlebih dahulu menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dibatalkan atas kesalahan teknikal.

Kejayaan tersebut sekali gus menghadiahkan pingat kedua buat Azizulhasni selepas turut memenangi gangsa dalam saingan keirin siri pertama, Jumaat lalu.

Seorang lagi wakil Muhammad Shah Firdaus Sahrom sekadar menamatkan saingan di tempat kesembilan selepas beraksi dalam perlumbaan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12.

Shah sebelum ini mencuri tumpuan apabila meraih pingat perak dalam keirin siri pertama di venue sama.

Sementara itu, dalam saingan wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid yang gagal mara ke saingan akhir keirin hanya beraksi dalam saingan penentuan ketujuh hingga ke-12.

Izzah yang meraih gangsa pada siri 1 menduduki tempat ketujuh, manakala Alyssa di kedudukan ke-10.

Emas menjadi milik pelumba China, Yuan Liying, manakala dua pelumba tuan rumah, Haruka Nakazawa dan Mina Sato melengkapkan podium. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN