PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyasarkan untuk mencapai jumlah pelaburan yang direkodkan kumulatif sebanyak RM636 bilion dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak antara 5.5 sehingga 6.5 peratus dan KDNK per kapita sebanyak RM58,800 pada 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha bagi mencapai sasaran tersebut adalah antara strategi Iskandar Malaysia dalam menyumbang kepada sasaran Ekonomi Madani untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dunia dan tangga ke-12 teratas dunia di dalam Daya Saing Global.
“Saya percaya, sasaran pertumbuhan Iskandar Malaysia ini turut akan dipacu oleh inisiatif-inisiatif yang telah saya umumkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City,” katanya dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat Ahli IRDA kali ke-32 yang antara lain telah meneliti cadangan hala tujunya sebagai Pihak Berkuasa Koridor dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 -2030 di bawah agenda Ekonomi Madani.
Tambah Anwar, perkara ini pada natijahnya adalah selari dengan keputusan kerajaan bagi menyusun semula lanskap agensi penggalakkan pelaburan negara yang dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.
“Selain itu, mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif strategik yakni menambahbaik Pusat Khidmat Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC) selain meningkatkan sosio-ekonomi melalui padanan pekerjaan yang saksama,” katanya.
Sebelum ini, Anwar berkata, Johor dijangka menjadi negeri termaju di Malaysia dalam tempoh satu atau dua tahun lagi susulan pelaksanaan dua zon ekonomi dan kewangan khas di negeri itu.
Perdana Menteri berkata, JS-SEZ dan Zon Kewangan Khas Forest City bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih pesat.
Pada 11 Januari lalu, Anwar dan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong, menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dengan Singapura.
Pada September lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, penubuhan JS-SEZ akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen yang berupaya merekodkan KDNK mencecah RM1.93 trilion pada 2021.
Pada 25 Ogos tahun lalu pula, Forest City iaitu projek mega pembangunan bercampur di atas empat pulau buatan di perairan Johor berdekatan Pelabuhan Tanjung Pelepas, diumumkan sebagai Zon Kewangan Khas.
Status kawasan pembangunan berkeluasan lebih 2832.79 hektar itu diumumkan Anwar yang juga Menteri Kewangan, bagi meningkatkan pelaburan asing, sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi kawasan terbabit. –UTUSAN










