Lagi akaun parti dibekukan?

Lagi akaun parti dibekukan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penelitian jejak wang membabitkan baki RM260 juta yang disyaki dibelanjakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk kempen politiknya, mungkin membawa kepada satu lagi akaun parti politik akan dibekukan.

Satu sumber terdekat parti itu mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan pembekuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bagaimanapun bergantung kepada aliran wang berkenaan digunakan.

Kata sumber, kesemua wang bernilai lebih RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada lebih 11 kontraktor yang diberikan projek secara runding terus ketika tempoh pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

“Kontraktor-kontraktor berkenaan disyaki akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun parti itu selepas projek berkenaan diperoleh.

“Jadi siasatan SPRM melihat dari pelbagai sudut yang ada bagi mengesan ‘money trail’ dana membabitkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima oleh parti itu,” katanya.

Dalam pada itu, kata sumber tersebut, SPRM juga dipercayai telah memanggil bendahari sebuah parti politik kelmarin untuk membantu siasatan.

“Keterangan itu diambil bagi menjelaskan transaksi kewangan membabitkan akaun parti itu,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.

Utusan Malaysia semalam turut melaporkan, baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu telah dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini.

Lapor akhbar ini, siasatan SPRM dipercayai difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah PN dan pelbagai kegunaan lain.

Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu mungkin akan dibekukan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. Setakat ini, akaun itu telah dibekukan sejak dua hingga tiga minggu lalu.

Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN