E-sukan buka laluan kerjaya

E-sukan buka laluan kerjaya

Pasukan 20 Thief Street muncul juara kejohanan itu, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi, manakala Seven Dragon meraih tempat kedua dengan RM7,000 dan AB Rakyat menduduki tangga ketiga dengan hadiah RM4,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: E-sukan kini semakin berkembang melangkaui ruang hiburan apabila platform pertandingan yang tersusun mula membuka peluang kepada pemain untuk mengembangkan bakat, membina reputasi dan menjadikan minat mereka sebagai kerjaya.

Perkembangan itu dapat dilihat menerusi penganjuran AdikBeradik Championship Series 2026 (ABCS2026) di The Arch Galleries Kuala Lumpur, semalam, yang menyaksikan lapan pasukan terbaik berentap merebut gelaran juara dalam permainan Grand Theft Auto (GTA).

Pasukan 20 Thief Street muncul juara kejohanan itu, sekali gus membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta trofi, manakala Seven Dragon meraih tempat kedua dengan RM7,000 dan AB Rakyat menduduki tangga ketiga dengan hadiah RM4,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kejohanan julung kali dianjurkan AdikBeradik Kuala Lumpur (ABKL) itu menawarkan hadiah terkumpul RM35,000, dengan lapan pasukan terbaik daripada 24 peserta berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas mengharungi tiga pusingan kelayakan.

Pengurus Projek ABCS2026, Aliff Eiman Ajami berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan menyediakan ruang kepada pemain untuk mengetengahkan bakat serta kemahiran mereka, selain membuktikan permainan video bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang.

“Usaha kita adalah untuk menghimpunkan mereka dan menyediakan platform kepada pemain-pemain ini untuk menyerlahkan bakat.

“Kami anjurkan kejohanan ini bukan sekadar mengenai bermain permainan video sahaja, tetapi kami mahu membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan itu juga sebenarnya boleh dijadikan kerjaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABKL, Muzammil Mudzakir berkata, sambutan menggalakkan terhadap penganjuran sulung itu memberi keyakinan kepada pihaknya untuk memperluas ABCS pada masa hadapan, termasuk membuka peluang kepada penyertaan pemain dari luar negara.

“Ini kali pertama kami menganjurkan kejohanan besar dan saya sendiri terkejut dengan sambutan yang luar biasa, harapan saya agar ABCS dapat diperluas bukan sahaja dalam kalangan peminat GTA, malah kepada pemain industri e-sukan secara keseluruhannya.

“Mungkin pada masa akan datang ada peserta dari luar negara, itu harapan saya, menerusi cara itu kita bukan sahaja dapat memperkenalkan komuniti GTA tempatan kepada orang luar, tetapi juga mempromosikan e-sukan tempatan di persada dunia,” katanya.

ABCS2026 turut menguji keupayaan pemain dari segi kemahiran individu, perancangan strategi, koordinasi pasukan dan semangat kesukanan digital, sekali gus mengetengahkan potensi GTA sebagai platform pertandingan kompetitif.

ABKL turut memanfaatkan pengalaman membangunkan komuniti AdikBeradik Roleplay (ABRP) untuk membawa permainan itu daripada sekadar hiburan dan lakon karakter kepada pertandingan yang lebih tersusun, dengan bahasa Melayu dijadikan medium utama interaksi bagi mengukuhkan identiti komuniti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABKL, Muzammil Mudzakir (dua dari kiri) bersama Pengurus Projek ABCS2026, Aliff Eiman Ajami pada sidang media sebelum kejohanan bermula, semalam.

Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin turut memeriahkan kejohanan menerusi penyertaan dalam kategori Influencer Show Match bersama AB All Star dan AB RXZ, selain mengakui bangga melihat perkembangan acara itu yang semakin membuka peluang kepada bakat muda untuk meneroka bidang e-sukan.

“Sebelum ini, acara lebih kepada majlis makan malam tahunan, kali ini saya bangga melihat ABKL menganjurkan acara yang lebih besar dengan pelbagai reruai dan aktiviti.

“Acara seperti ini membuka peluang kepada penstrim muda yang mahu mencuba bidang e-sukan, kalau dahulu ada ibu bapa menganggap bermain permainan video membuang masa dan tiada masa depan, sekarang sudah ada pelbagai platform untuk menjadikannya sebagai kerjaya,” katanya.

Kira-kira 4,000 pengunjung hadir memeriahkan ABCS2026, yang diharap menjadi titik permulaan kepada pembangunan ekosistem e-sukan berasaskan GTA lebih mampan, selain membuka ruang kepada generasi pemain baharu untuk mengembangkan potensi dalam industri kreatif digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini