Verstappen tempah petak hadapan pertama musim ini

Verstappen tempah petak hadapan pertama musim ini

MAX Verstappen mengangkat tangan tangan selepas menempah petak hadapan buat kali pertama, musim ini pada Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.-UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menempah petak hadapan buat kali pertama, musim ini, selepas melakar masa terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Verstappen mencatat masa sepusingan 1 minit 35.130 saat (s) dan sekali gus menewaskan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton daripada Ferrari yang merekodkan 1:35.428s.

Seorang lagi pemandu Red Bull Racing, Isack Hadjar melengkapkan aksinya di tempat ketiga dengan catatan 1:35.558s, namun, bakal berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan itu pada perlumbaan, esok berikutan penalti yang dikenakan ke atasnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua pelumba Mercedes AMG Petronas, Kimi Antonelli dan George Russell masing-masing berada di tempat keempat (1:35.631s) serta kelapan (1:35.871s).

Rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc pula mengisi kedudukan kelima dengan masa 1:35.666s.

Verstappen berkata, keputusan itu cukup istimewa selepas perjuangannya untuk mendapatkan petak pertama sepanjang musim ini akhirnya membuahkan hasil di Sepang.

“Saya akhirnya berjaya juga berada di petak hadapan, musim ini, ia memang sesuatu yang luar biasa,” kata Verstappen yang merupakan pemenang terakhir GP Malaysia pada 2017.

Pelumba Belanda tersebut yang masih memburu kemenangan pertamanya, musim ini memberitahu, dia gembira dengan prestasi yang dipamerkan dan sudah tentu akan cuba mengekalkan kedudukan petak hadapannya itu.

Sementara itu, Hamilton mengakui, sokongan padu penonton di Sepang memberikan tenaga tambahan kepadanya selepas mencatat keputusan kelayakan yang baik dalam keadaan cuaca panas.

“Saya sangat menyukai tenaga ini dan berterima kasih kepada Malaysia kerana mengalu-alukan kami. Ia sangat panas di sini dan menjadi cabaran besar kepada tayar, kereta serta mekanik di garaj,” katanya.

Menurut pelumba kelahiran Great Britain itu, perubahan yang dilakukan pasukan Ferrari sepanjang sesi latihan akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berjaya menemukan keseimbangan lebih baik pada jentera menjelang kelayakan.

Pada perlumbaan esok, pengurusan tayar dan degradasi dijangka menjadi antara cabaran utama, dengan Hamilton mengakui, tugas mengekalkan tayar dalam keadaan baik di permukaan SIC yang kasar bukan mudah.

Dalam pada itu, Hadjar pula percaya jentera Red Bull Racing mempunyai kelajuan untuk membolehkannya bangkit daripada penalti dan kembali mencatat keputusan baik dalam perlumbaan, walaupun terpaksa berjuang dari kedudukan lebih belakang iaitu di tempat kelapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN