SINGAPURA: Max Verstappen menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Singapura yang berlangsung dalam keadaan basah dan penuh insiden selepas George Russell terbabas ketika mendahului perlumbaan di Litar Jalan Raya Marina Bay, hari ini.
Pemandu Red Bull itu menamatkan perlumbaan di depan Lewis Hamilton dari Ferrari dengan kelebihan 2.591 saat (s), manakala rakan sepasukan Hamilton, Charles Leclerc, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Perlumbaan yang dijadualkan bermula terpaksa ditangguhkan selama 30 minit selepas hujan lebat melanda litar kira-kira 10 minit sebelum pelepasan, dengan semua jentera memulakan perlumbaan menggunakan tayar perantaraan.
Russell yang bermula di barisan hadapan bersama Verstappen melakukan pelepasan lebih baik untuk merampas pendahuluan, namun nasibnya berubah apabila hilang kawalan di selekoh terakhir pada penghujung pusingan pertama sebelum melanggar tembok lorong pit.
Insiden itu mencetuskan kemunculan kereta keselamatan dan memberi laluan kepada Verstappen untuk menguasai perlumbaan, sekali gus mengakui dia turut mendapat sedikit keuntungan daripada kemalangan pelumba Mercedes berkenaan.
“Permulaan kami sekali lagi sangat teruk dan itu sesuatu yang perlu diperbaiki kerana jika perkara sama berlaku esok, perlumbaan kami boleh berakhir begitu sahaja,” kata Verstappen.
Russell mengakui kesilapannya ketika melalui selekoh berkenaan apabila penggunaan kuasa bateri yang lebih tinggi daripada jangkaan menyebabkan jenteranya melebar ke garisan putih yang licin, sebelum terbabas dan menamatkan perlumbaan lebih awal.
Hamilton pula memanfaatkan permulaan cemerlang dari petak keenam untuk melonjak ke tempat kedua, malah berjaya mengurangkan jurang dengan Verstappen menjelang penamat, namun tidak cukup untuk merampas kemenangan.
Drama turut mewarnai pusingan terakhir apabila dua jentera McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, bersentuhan ketika masing-masing berada di tempat keempat dan kelima sebelum berpusing, sekali gus membuka ruang kepada Kimi Antonelli dari Mercedes untuk mewarisi kedudukan keempat.
Liam Lawson dari RB menamatkan perlumbaan di tempat kelima, diikuti Oliver Bearman (Haas) dan Nico Hulkenberg (Audi), manakala Norris bangkit menyambung perlumbaan untuk meraih mata terakhir di tempat kelapan; Russell pula bakal memulakan GP Singapura dari belakang grid hari ini susulan penalti enjin. – AGENSI











