KUALA LUMPUR: Tindakan susulan audit oleh Jabatan Audit Negara telah menyumbang kepada kutipan hasil dan bayaran balik kepada kerajaan berjumlah RM920.91 juta, setakat 28 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rekod itu bukan angka kecil kerana ia membuktikan audit yang disusuli tindakan boleh menghasilkan pemulihan wang awam yang nyata.
“Jangan melihat teguran audit sebagai serangan. Lihatlah ia sebagai peluang untuk membetulkan kelemahan, memperbaiki sistem dan melindungi wang rakyat,” katanya ketika membentangkan usul mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
LKAN 2/2026 yang merangkumi aktiviti kementerian, penyata kewangan kerajaan negeri dan pengurusan syarikat kerajaan negeri dibentangkan di Dewan Rakyat, sejak Isnin lalu.
Laporan itu mendapati prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2025 bertambah baik dengan peningkatan lebihan hasil sebanyak RM2.184 bilion dan pengurangan defisit sebanyak RM3.878 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Azalina malah berkata, prinsip akauntabiliti tidak boleh hanya berhenti di Putrajaya kerana wang rakyat diuruskan di setiap peringkat kerajaan.
Oleh itu, beliau menyeru supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) turut memberikan ruang kepada LKAN 2/2026 untuk diteliti dan dibahaskan secara terbuka dan bukan sekadar dibentangkan untuk makluman.
“Akauntabiliti tidak mengenal sempadan politik sama ada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, kerajaan atau pembangkang. Apabila melibatkan wang rakyat, piawaiannya mesti sama,” katanya.-UTUSAN











