JOHOR BAHRU: Pengoperasian perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan bandar raya ini dengan Singapura akan dilewatkan sebulan iaitu pada Februari 2027 berbanding tarikh asal, Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bagaimanapun berkata, kerja-kerja fizikal projek berkenaan tidak tertangguh sebaliknya akan kekal siap mengikut jadual ditetapkan iaitu pada 31 Disember ini.
Katanya, keputusan memulakan operasi pada Februari 2027 dibuat secara bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura.
“Keputusan ini diambil bagi membolehkan lebih banyak kerja-kerja penilaian keselamatan serta pengujian sistem secara komprehensif dilakukan sebelum pengoperasian penuh. Kita tidak mahu terburu-buru merasmikan projek ini kerana ia akan digunakan puluhan ribu pengguna setiap hari.
“Sebenarnya bukan tangguh, projek memang siap secara fizikalnya pada 31 Disember ini. Tetapi pemakluman telah dibuat kepada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
“Saya telah berhubung dengan Menteri Pengangkutan Singapura dan kita bersetuju keputusan terbaik adalah untuk memulakan perkhidmatan ini pada Februari 2027,” katanya dalam sidang akhbar sempena program Peluasan Perkhidmatan Bas.My Johor Bahru di JB Sentral, di sini hari ini.
Tambah Siew Fook, struktur fizikal stesen serta Bangunan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) kedua-dua negara sudah siap sepenuhnya dan berada dalam fasa paling kritikal iaitu ujian dan kelulusan.
“Tempoh tiga bulan iaitu Oktober, November dan Disember ini diperuntukkan khas bagi menguji integrasi pelbagai sistem utama termasuk isyarat, pengurusan penumpang, operasi tren dan koordinasi sempadan.
“Fasa ini amat kritikal. Pelbagai ujian perlu dijalankan bagi memastikan sistem diintegrasi dengan baik dan beroperasi tanpa sebarang masalah teknikal. Ini projek besar, kita berikan ruang dan masa secukupnya kepada pihak kontraktor serta operator.
“Kita yakin tarikh Februari itu akan menyaksikan perkhidmatan RTS Link ini beroperasi sepenuhnya, tidak akan ditambah lagi masa,” katanya.
Mengulas tentang program, Siew Fook memberitahu perkhidmatan Bas.My akan diperluas melibatkan lebih banyak unit bas di lebih banyak laluan bagi meningkatkan jumlah kekerapannya.
“Selaras dengan peningkatan permintaan, kerajaan bersetuju meneruskan perkhidmatan bas ini bagi tempoh lima tahun bermula 2027 hingga 2031 dengan penambahan sehingga 230 buah bas berbanding 162 buah sedia ada.
“Inisiatif ini akan menambah jumlah perjalanan kepada lebih 2,000 berbanding kira-kira 1,674 perjalanan, dengan kekerapan sebuah bas sekitar 15 hingga 30 minit,” katanya.-UTUSAN











