RM1.8 bilion rumah mampu milik boleh diselamatkan

RM1.8 bilion rumah mampu milik boleh diselamatkan

PERUMAHAN di Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2027 berpotensi mengelakkan rumah mampu milik bernilai hampir RM1.8 bilion daripada terus tidak berpenghuni menerusi pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (DRN) baharu yang menggalakkan pembangunan berasaskan data.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, belanjawan itu merupakan yang pertama selepas pelancaran DRN baharu untuk tempoh 10 tahun pada Ogos lalu dan bakal menjadi asas kepada pelaksanaan dasar berkenaan bagi tahun-tahun seterusnya.

“Bagi perumahan mampu milik, Belanjawan 2027 adalah yang paling penting. Belanjawan pertama selepas pelancaran DRN baharu ini akan menjadi asas kepada lapan bajet yang akan datang.

“Dasar baharu amat penting bagi perumahan mampu milik kerana ia bertujuan meningkatkan bekalan dengan ketara selain menangani beberapa cabaran berterusan yang dihadapi pasaran perumahan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, perancangan berasaskan data, kaedah pembiayaan baharu, teknik pembinaan moden serta sasaran bekalan baharu yang lebih besar merupakan antara komponen dasar berkenaan yang dijangka menerima peruntukan menerusi Belanjawan 2027.

Ujarnya, salah satu masalah utama yang boleh ditangani melalui perancangan berasaskan data ialah rumah tidak terjual, dengan pembangunan boleh disesuaikan mengikut keperluan sesuatu lokasi dari segi jenis dan harga.

“Sekiranya rumah dibina bersesuaian dengan lokasi dari segi jenis dan harga, ia sepatutnya dapat dijual dalam tempoh yang munasabah dalam keadaan pasaran yang stabil.

“Oleh itu, pembangunan berasaskan data berpotensi mengurangkan jumlah rumah yang tidak terjual dan mengelakkan rumah bernilai berbilion ringgit daripada terus tidak berpenghuni.

“Sebagai contoh, jika perancangan berasaskan data dapat mengurangkan jumlah rumah mampu milik yang tidak terjual sebanyak hanya 1,000 unit setahun, hampir RM1.8 bilion nilai rumah mampu milik dapat dielakkan daripada terus tidak berpenghuni sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaan dasar itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak industri perumahan menyambut baik cadangan instrumen pembiayaan baharu di bawah DRN bagi membantu pembeli rumah mampu milik.

Jelasnya, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sedia ada akan terus menjamin pinjaman perumahan bagi pembeli rumah pertama yang tidak mempunyai slip gaji tetap, termasuk pekerja gig dan individu bekerja sendiri.

“Tahun lalu, skim itu meluluskan jaminan kepada 27,000 rakyat Malaysia untuk membeli rumah pertama.

“Sekiranya kerajaan dapat mengekalkan kadar tahunan itu untuk tempoh 10 tahun akan datang, seramai 270,000 isi rumah akan mendapat manfaat.

“Berdasarkan saiz purata isi rumah, jumlah itu bersamaan hampir satu juta individu yang menerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata, beberapa skim pembiayaan lain dalam DRN turut dijangka menerima peruntukan menerusi Belanjawan 2027, termasuk skim sewa untuk beli dan pemilikan bersama.

Menurutnya, skim sewa untuk beli membolehkan keluarga mendiami rumah sebagai penyewa sebelum memilikinya secara berperingkat tanpa memerlukan deposit awal yang besar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN