NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, berdepan tekanan baharu apabila gerakan belia Part Lipas Janta (CJP) serta gabungan mahasiswa dan aktivis mengadakan demonstrasi bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar, meletakkan jawatan.
CJP mengadakan perhimpunan di Mumbai dan merancang memperluaskan demonstrasi ke beberapa bandar di seluruh India dalam beberapa hari akan datang.
Pada masa sama, kumpulan mahasiswa dan masyarakat sivil berhimpun di Jantar Mantar, New Delhi.
Demonstrasi itu susulan pertikaian berhubung proses semakan daftar pemilih yang kini meningkatkan penelitian terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI).
Penunjuk perasaan mendakwa suruhanjaya itu memanipulasi daftar pemilih bagi memberi kelebihan kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi.
Bagaimanapun, ECI dan kerajaan India menafikan dakwaan berkenaan serta mempertahankan proses semakan daftar pemilih yang dilaksanakan.
Tekanan terhadap Kumar meningkat selepas akhbar Indian Express melaporkan dua timbalan pesuruhjaya pilihan raya menyuarakan kebimbangan sekurang-kurangnya 14 kali dalam tempoh 10 bulan berhubung semakan daftar pemilih, prosedur pendaftaran dan sistem digital suruhanjaya itu.
ECI sebelum ini berkata perbezaan pandangan dalam sesuatu institusi adalah perkara biasa dan semua tindakannya mematuhi undang-undang.
Suruhanjaya Pilihan Raya India berkata perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam perbincangan dalaman, selain menegaskan semua tindakannya mematuhi undang-undang.
“Kami sudah meminta dan mendesak perubahan, tetapi tiada apa yang akan berubah jika satu-satunya alat yang masih kita ada untuk mengubah masyarakat, iaitu hak mengundi, dirampas daripada kita.
“Kami hanya akan menamatkan demonstrasi selepas Gyanesh Kumar meletakkan jawatan,” kata penyelaras CJP, Saurav Das, kepada agensi berita India ANI pada Khamis.
Kontroversi itu berkisar pada proses pengesahan daftar pemilih di seluruh negara yang dilancarkan tahun lalu. Pengkritik mendakwa proses berkenaan menyebabkan jutaan pengundi yang layak dikeluarkan daripada daftar pemilih.
Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata proses berkenaan bertujuan mengeluarkan nama pengundi yang berdaftar lebih daripada sekali, meninggal dunia atau tidak layak, selain memastikan ketepatan daftar pemilih.
Parti pembangkang yang diketuai Parti Kongres turut dijadual memulakan demonstrasi pada 6 Oktober bagi mendesak Kumar meletakkan jawatan.- AGENSI











