SUNGAI PETANI: Seorang kontraktor pendawaian elektrik meninggal dunia dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja membaiki di atas bumbung sebuah rumah di Taman Berangan, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa Cheng Gwo Pyng, 49, dipercayai terjatuh dan pengsan di atas bumbung berkenaan sebelum disedari pemilik rumah.
Mangsa dikatakan dipanggil pemilik rumah berkenaan untuk membaiki sistem pendawaian elektrik di kediaman itu yang bermasalah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 11.35 pagi.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia disahkan meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di zon merah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kata Hanyan, kes diklasifikasikan di bawah kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat. – UTUSAN











