KOTA BHARU: Akibat cuba mengambil mata kail tersangkut pada wayar elektrik menggunakan galah besi, seorang pelajar maut terkena renjatan elektrik di Kampung Langgar di sini, semalam.
Dalam kejadian 5.15 petang itu, mangsa Mohamad Amiruddin Anwar Md. Azam, 14, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan.
Ibunya, Norhabibi Jaafar, 52, berkata, dia dimaklumkan oleh anak ketiganya yang melihat kejadian menimpa Mohamad Amiruddin Anwar. Setiba di lokasi, dia hanya mampu berdoa selepas melihat keadaan mangsa yang sudah kaku.
“Mujur semasa kejadian, ada seorang doktor tinggal berhampiran lokasi kejadian telah datang membantu melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sebelum dia dibawa ke HRPZ II.
“Melihat keadaannya ketika itu, saya sudah reda. Sehinggalah dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Langgar, semalam.
Norhabibi memberitahu, sebelum kejadian, Mohamad Amiruddin Anwar sempat mengikutnya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar untuk mengambil seorang lagi anaknya.
Katanya, sebaik tiba di rumah dia terus masuk ke bilik untuk solat Asar sementara mangsa bersama adiknya, Azamuddin Azwa keluar.
“Selain mangsa dan adiknya, saudaranya Eizzrayyan Riduan turut ke lokasi kejadian. Saya dimaklumkan Azamuddin Azwa, semasa mereka naik basikal abangnya nampak mata kail tersangkut di wayar elektrik.
“Dia berpatah balik ke rumah terletak 100 meter dari lokasi kejadian untuk mengambil galah besi (yang digunakan untuk mengait buah). Dia dipercayai mengait mata kail tersebut menggunakan galah besi berkenaan lalu terkena renjatan elektrik,” katanya. – UTUSAN










