PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat menerusi pelaksanaan projek berkualiti, pemantauan kemajuan yang rapi serta pengurusan kewangan berintegriti.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keutamaan kementerian ialah memastikan infrastruktur yang dibangunkan selamat digunakan, memenuhi keperluan masyarakat dan memberikan nilai terbaik kepada negara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM10.882 bilion kepada KKR menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam.
Katanya, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memperkukuh infrastruktur negara, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta memperluas manfaat pembangunan kepada rakyat.
“Bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 mengangkat aspirasi kemajuan negara dengan berpaksikan keperluan rakyat.
“Bagi KKR, aspirasi ini diterjemahkan melalui pembangunan infrastruktur yang menghubungkan masyarakat dengan peluang pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan kegiatan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Alexander, peruntukan KKR meningkat 1.78 peratus berbanding RM10.692 bilion pada tahun ini, merangkumi RM1.146 bilion bagi belanja mengurus dan RM9.736 bilion bagi belanja pembangunan.
Katanya, peruntukan itu memperkukuh keupayaan kementerian untuk meneruskan pembangunan infrastruktur serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Daripada peruntukan pembangunan tersebut, beliau berkata, RM1.38 bilion disediakan bagi Lebuhraya Pan Borneo.
“KKR menghargai komitmen berterusan kerajaan terhadap pelaksanaan projek ini yang penting untuk memperkukuh jaringan perhubungan, memudahkan pergerakan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, Alexander berkata, peruntukan bagi memperkasa kontraktor kecil Bumiputera Gred G1 hingga G4 meningkat kepada RM7.5 bilion berbanding RM4 bilion tahun ini, iaitu peningkatan 87.5 peratus.
“Hampir RM800 juta turut disediakan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, termasuk RM350 juta untuk kontraktor di Sabah dan Sarawak, sekali gus memperluas peluang ekonomi serta meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Pembangunan jalan raya dan jambatan turut diberikan perhatian melalui peruntukan RM801.46 juta bagi Sabah dan RM565.30 juta bagi Sarawak.
“Peruntukan ini menyokong usaha memperluas akses, meningkatkan kualiti infrastruktur dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKR turut menyambut baik peningkatan Peruntukan Khas Jurutera Daerah Seluruh Malaysia kepada RM40 juta berbanding RM30 juta tahun ini.
Katanya, peningkatan itu memperkukuh keupayaan pelaksanaan di peringkat daerah supaya keperluan setempat dapat diberikan perhatian dengan lebih berkesan. – UTUSAN











