KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Gig sedang dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum yang akan dimuktamadkan pada awal tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan membela nasib 600,000 pekerja gig dengan perlindungan yang lebih menyeluruh.
Menurut beliau, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig akan dimuktamadkan segera.
“Sementara menunggu ketetapan tersebut, kerajaan dan pihak grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing bermula 2027.
“Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans, serta caruman Perkeso,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, itu bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan Perkeso 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Insentif akan ditingkatkan 17 kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja,” katanya. –UTUSAN











