PETALING JAYA: Harimau Malaya wajib meraih keputusan positif pada dua jendela aksi antarabangsa pada November ini dan Mac tahun depan bagi meningkatkan ranking dunia sebelum undian kelayakan Piala Dunia 2030/Piala Asia 2031.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Harimau Malaya perlu meraih keputusan positif bagi memastikan Malaysia berada dalam balang terbaik ketika undian kelayakan kejohanan berkenaan.
Menurut Ab Ghani, FAM merancang mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus Tier 1 bagi memberi peluang kepada Harimau Malaya mengutip mata ranking yang diperlukan untuk memperbaiki kedudukan semasa.
“Kita mahu berada pada kedudukan ranking yang lebih baik. Kita juga merancang mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan antarabangsa Tier 1 yang menawarkan mata untuk meningkatkan ranking kita.
“Apabila ranking baik kita akan berada dalam balang yang lebih baik ketika undian kelayakan Piala Dunia dan juga kelayakan Piala Asia 2031. Jadi, kita perlu berusaha mendapatkan kedudukan yang baik dan untuk itu,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-133 dunia selepas kemaskini ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin, naik tiga anak tangga berbanding kedudukan 136 dunia sebelum ini.
Pada jendela aksi antarabangsa pada bulan depan, Harimau Malaya dijadual menentang China dalam dua perlawanan persahabatan di Guangzhou pada 14 dan 17 November ini.
Dua pertemuan itu menjadi peluang penting buat skuad negara menguji kemampuan menentang pasukan China yang menduduki kelompok 100 terbaik dunia yang berada pada tahap berbeza, selain memburu kemenangan untuk mengutip mata ranking dan meningkatkan kedudukan Malaysia. – UTUSAN











