PETALING JAYA: Kehadiran barisan pemain muda dan muka baharu membuatkan pertahanan warisan negara, Brad Tapp optimis Harimau Malaya mempunyai masa depan cerah untuk melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa.
Tapp berkata pengalaman bersama Harimau Malaya sepanjang kejohanan Piala ASEAN FIFA 2026 menegaskan bahawa skuad negara memiliki kualiti untuk mencipta pencapaian lebih baik pada masa depan.
Katanya, gabungan pemain muda yang semakin matang dengan kehadiran muka baharu seperti dirinya menjadi antara kekuatan yang boleh membentuk Harimau Malaya untuk tempoh akan datang.
“Satu penghormatan untuk berada di sini dan saya amat bersyukur dapat berada di sini. Semua orang sangat menyambut baik.
“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya fikir kami sudah menunjukkannya dalam kejohanan ini. Tetapi saya tahu kami boleh pergi lebih jauh dan mampu melakukan lebih banyak lagi.
“Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain muda dan ramai pemain seperti saya yang baru sahaja menyertai pasukan.
“Jadi kami adalah pasukan yang segar, tetapi tidak kira kejohanan atau perlawanan apa pun, kami sentiasa akan memberikan yang terbaik,” katanya kepada media.
Mengulaskan mengenai kualiti rakan sepasukan Tapp menyifatkan Arif Aiman Hanapi sebagai antara pemain yang paling menyerlah, namun menegaskan kekuatan Harimau Malaya tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, Arif Aiman sememangnya mempunyai kualiti untuk bergelar antara ‘superstar’ pasukan, tetapi masih ramai pemain lain yang bekerja keras dan memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad negara.
“Ya, mereka adalah superstar, ramai daripada pemain ini yang mendapat perhatian seperti Arif Aiman. Dia memang berkualiti, tetapi ada juga ramai pemain yang tidak mendapat perhatian sepatutnya walaupun mereka sudah memberikan begitu banyak usaha sepanjang minggu lalu.
“Seluruh pasukan terus memberikan komitmen. Saya fikir kami menjaringkan sembilan gol dalam peringkat kumpulan dan tidak dibolosi, jadi ia bukan hanya mengenai serangan, tetapi juga pertahanan.
“Semua pemain secara kolektif sudah melakukan tugas yang hebat setakat ini,” ujarnya. – UTUSAN











