SEOUL: Kecerdasan buatan (AI) dipercayai mungkin digunakan dalam beberapa serangan siber yang menyasarkan sektor kewangan Korea Selatan, kata Presiden Lee Jae Myung hari ini.
Polis turut melancarkan siasatan selepas lebih tujuh institusi kewangan, termasuk beberapa bank terbesar negara itu, melaporkan kebocoran data pelanggan dalam tempoh seminggu lalu.
Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan, lebih 68,000 orang terjejas akibat serangan berkenaan.
Jae Myung berkata terdapat petunjuk AI digunakan dalam beberapa serangan penggodaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan sektor kewangan negara itu.
“Terdapat tanda-tanda bahawa kecerdasan buatan digunakan dalam beberapa serangan penggodaman, sekali gus menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata, teknologi AI kini membolehkan aktiviti penggodaman dilakukan dengan lebih mudah, termasuk oleh individu yang tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang berkenaan.
Keupayaan AI untuk mengesan kelemahan perisian yang sebelum ini tidak diketahui turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bank, syarikat dan infrastruktur kerajaan.
Jae Myung berkata, kemajuan teknologi AI menyebabkan kaedah penggodaman semakin canggih, manakala skala kerosakan akibat serangan siber turut semakin meluas.
“Kerajaan, syarikat dan masyarakat secara keseluruhannya perlu menyedari keseriusan situasi ini dan meningkatkan kewaspadaan,” katanya.
Seorang pegawai kerajaan memberitahu AFP terdapat kemungkinan tinggi Artex AI, iaitu alat ujian keselamatan sumber terbuka yang dipercayai merupakan sistem AI dari China, digunakan dalam serangan berkenaan.
Bagaimanapun, pegawai berkata penggunaan alat itu tidak bermakna serangan terbabit dilakukan oleh individu dari China.
“Penyerang boleh berpindah antara dan menggunakan alamat IP di beberapa lokasi, justeru adalah mustahil untuk mengenal pasti penyerang hanya berdasarkan alamat IP,” kata Ketua Institut Keselamatan Kewangan, Park Sang-won, kepada pemberita.
Alamat IP atau alamat protokol Internet ialah nombor unik yang diberikan kepada sambungan Internet tertentu.- AFP











