PETALING JAYA: Barisan srikandi skuasy negara berada di landasan terbaik mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka, empat tahun lalu, selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir dalam aksi Kumpulan A pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, hari ini.
Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan pertama tidak berdepan masalah mengetepikan Singapura 3-0 untuk muncul juara Kumpulan A.
Untuk perlawanan, hari ini, penggiliran (order of play) 2-1-3 telah diguna pakai, Aira Azman sebagai perseorangan kedua turun terlebih dahulu dan dia tidak berdepan masalah menewaskan Au Yeong Wai Lynn 11-9, 11-8, 11-2 dalam masa 21 minit.
Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari yang direhatkan, semalam, mudah mengetepikan Au Yeong Wai Yhann 11-6, 11-6, 11-5 dalam masa 19 minit, bagi memastikan kemenangan Malaysia 2-0.
Seorang lagi perseorangan negara, Aifa Azman melengkapkan kemenangan skuad negara 3-0 selepas dia membenam Naisha Singh 11-0, 12-10, 11-3 dalam masa 15 minit.
Pada suku akhir, esok, pasukan di tempat ketiga dari Kumpulan A, B dan C yang memenangi kedudukan kedua perlawanan ‘play-off’ dijadual akan bertemu Malaysia.
Tiga pasukan tersebut sama ada Macau, Pakistan ataupun China, dengan Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan pencabar tersebut bagi meloloskan diri ke separuh akhir pada Khamis. – UTUSAN











