PETALING JAYA: Prospek pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow berada di landasan terbaik mempersiapkan diri ke temasya itu selepas kedua-duanya beraksi cemerlang mara ke separuh akhir pada Kejohanan Skuasy Klasik London di Alexandra Palace, London, England, hari ini.
Bintang No. 5 dunia, Sivasangari menundukkan pemain muda berbakat besar dari India, Anahat Singh 11-4, 11-4 hanya dalam masa 17 minit di suku akhir, manakala, Eain Yow mengejutkan wakil Mesir yang menghuni ranking No. 12 dunia, Youssef Soliman 11-6, 5-11, 11-3 dalam masa 56 minit.
Sivasangari berkata, Anahat seorang pemain berbakat besar dan dia gembira dengan caranya bermain untuk menempah laluan ke separuh akhir.
“Anahat pernah mengejutkan beberapa pemain ternama dan berjaya mencabar majoriti dalam kalangan bintang handalan. Dia sangat bahaya jika diberi masa, jadi, saya cuba menyekat hasratnya itu,” katanya sewaktu ditemu bual PSA Squash.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir menentang jaguh Mesir, Amina Orfi, awal pagi esok (waktu Malaysia), Sivasangari memberitahu, dia pernah menewaskan bintang No. 2 dunia itu, tetapi, pertembungan kali ini adalah satu pertemuan baharu.
“Saya bekerja keras dalam latihan kerana hendak menewaskan pemain handalan dunia. Dia merupakan juara dunia, tetapi, saya juga mempunyai matlamat sendiri. Esok, saya hanya mahu memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, dalam saingan perseorangan lelaki, pemain No. 18 dunia, Eain Yow mengalahkan Youssef yang diletakkan sebagai pilihan kelima 11-6, 5-11, 11-3 dalam masa 56 minit.
Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak banyak berfikir dalam perlawanan tersebut, malah, sebaliknya hanya mahu mengekalkan momentum daripada aksi sebelum ini.
“Saya mendahului 4-2 dalam set kedua dan selepas itu, Youssef berjaya membuat saya berfikir tentang permainan saya dan saya mula cuai sewaktu menyempurnakan pukulan, tetapi, mujur saya berjaya kekal fokus, bertenang dan yakin sehingga ke hujung saingan,” katanya.
Menurut Eain Yow, dia secara perlahan-lahan akhirnya kembali mendapatkan prestasi terbaik selepas terpaksa mengharungi tahun yang sukar dari segi persembahannya di dalam gelanggang.
Pemain berusia 28 tahun itu yang kini berlatih di bawah bimbingan Hadrian Stiff sejak enam bulan lalu, telah banyak membantu meningkatkan kembali prestasinya.
Pada separuh akhir, Eain Yow bakal berdepan laluan getir apabila dijadual menentang bintang No. 2 dunia, Paul Coll dari New Zealand. – UTUSAN










