Rania bawa impian Malaysia ke Jerman

Rania bawa impian Malaysia ke Jerman

PEMAIN muda bola sepak wanita negara, Qaseh Rania akan beraksi dengan kelab Divison 1, Fortuna Dusseldorf dalam saingan bawah 17 tahun (B-17).-IHSAN StudyGermany
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selepas tiga tahun menanti, Qaseh Rania Khairul Najib akhirnya berada di ambang merealisasikan impian yang pernah hanya dibayangkan menguji kemampuan di pentas bola sepak Jerman.

Pemain berusia 16 tahun itu bakal menyarung jersi Fortuna Dusseldorf dalam saingan B-Juniorinnen-Regionalliga West, iaitu Divisyen 1 dan liga tertinggi wanita Bawah 17 Tahun (B-17) di Jerman.

Buat Rania, peluang tersebut hadir selepas melalui proses panjang yang menuntut kesabaran, komitmen dan pengorbanan, termasuk persiapan yang dilakukan bersama keluarganya sejak tiga tahun lalu.

Tidak hairanlah apabila detik impian itu semakin hampir menjadi kenyataan, perasaan pemain muda tersebut bercampur antara keterujaan dan kesyukuran kerana segala usaha yang dicurahkan akhirnya membuka pintu untuknya melangkah lebih jauh dalam karier bola sepak.

“Rania sangat gembira, bersyukur dan teruja. Tak sabar nak pergi sana dan harap semua urusan dipermudahkan.

“Rania sangat bersyukur sebab perjalanan untuk pergi ke sana sangat susah. Alhamdulillah, kali ini Rania dapat pergi dan Rania akan buat betul-betul.

“Banyak pengalaman pahit manis dan kami buat persiapan selama tiga tahun untuk pergi ke Jerman. Alhamdulillah, hari ini impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Namun, Rania tidak mahu menjadikan kejayaan mendapatkan peluang beraksi di Jerman sebagai kemuncak perjalanan, sebaliknya menganggapnya sebagai permulaan kepada cabaran yang jauh lebih besar.

Dia sedar perbezaan tahap permainan bakal menguji keupayaan dirinya, terutama dari aspek fizikal dan taktikal ketika berdepan pemain yang dibentuk dalam sistem bola sepak Eropah.

Justeru, Rania turut mempersiapkan diri dari sudut mental selain meningkatkan aspek fizikal dan taktikal, termasuk mengambil inisiatif mempelajari bahasa Jerman bagi memudahkan proses penyesuaian di negara berkenaan.

“Persaingan sangat hebat. Dari segi fizikal dan taktikal permainan, semua itu yang Rania perlu fokuskan. Insya-Allah, Rania boleh buat,” katanya.

Kesediaan Rania untuk menerima cabaran itu penting memandangkan saingan B-Juniorinnen-Regionalliga West bakal memberikan pengalaman berbeza berbanding suasana bola sepak yang dilaluinya sebelum ini.

Lebih daripada sekadar mengejar minit permainan dan keputusan positif, Rania kini mempunyai peluang untuk mengumpul pengalaman di persekitaran kompetitif yang mampu membentuk dirinya sebagai pemain lebih matang.

Langkah tersebut juga membawa makna lebih besar kerana kejayaannya menembusi sistem bola sepak remaja Jerman mampu menjadi pencetus kepada lebih ramai pemain muda wanita tempatan untuk percaya bahawa impian beraksi di pentas Eropah bukan sesuatu yang mustahil.

Kini, selepas tiga tahun melakukan persiapan, Rania hanya perlu memastikan segala pengorbanan yang telah dicurahkan menjadi bekalan untuk mencipta cerita baharu di Jerman bukan sekadar sebagai pemain muda dari Malaysia, tetapi sebagai individu yang berani mencabar dirinya di pentas antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×