PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan bebas 2 (FP2) Kejuaraan Moto4 Piala Eropah di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, semalam.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan SIC Racing, insiden tersebut berlaku ketika anak muda berusia 14 tahun itu terjatuh apabila melalui selekoh kelima menuju ke selekoh keenam dan pelumba di belakang Qabil tidak sempat mengelak lalu melanggar kakinya.
“Ekoran kejadian itu, sesi FP2 dihentikan, manakala Qabil terus dibawa ke hospital berdekatan bersama wakil pasukan daripada MLAV Racing untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut,” kata kenyataan itu di sini, semalam.
Jelas kenyataan tersebut, hasil pemeriksaan mendapati Qabil mengalami patah pada kaki kiri yang melibatkan tulang tibia dan fibula.
“Pihak hospital kemudian memberikan rawatan segera selepas mengesahkan keadaan Qabil adalah stabil.
“Qabil seterusnya menjalani pembedahan selama dua jam bagi merawat kecederaan tersebut dan hanya selesai sekitar pukul 7 pagi waktu Malaysia, semalam.
“Ketika ini, Qabil masih berada di hospital dan terus dipantau oleh doktor sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan nasihat pihak perubatan, Qabil dijangka dibenarkan pulang selepas kira-kira lima hari, tertakluk kepada perkembangan keadaan kesihatannya.
Tambah kenyataan tersebut, Qabil kini ditemani oleh bapanya serta wakil pasukan MLAV, wakil ZK Racing dan pelumba Moto3 Malaysia, Hakim Danish Ramli yang berada di hospital bagi memastikan segala keperluan serta kebajikannya sepanjang tempoh rawatan dapat diuruskan dengan baik.
“Pihak MLAV Racing dan ZK Racing terus berhubung rapat bagi memastikan segala urusan rawatan Qabil berjalan lancar, selain mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak doktor dan keluarga.
“ZK Racing mendoakan agar Qabil terus diberikan kekuatan menjalani proses pemulihan dengan baik dan kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.
ends.










