PM wajar tolak peletakan jawatan Anthony Loke - Hassan Abdul Karim - Utusan Malaysia

PM wajar tolak peletakan jawatan Anthony Loke – Hassan Abdul Karim

Hassan Abdul Karim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menolak permohonan peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sekaligus mengekalkan beliau pada kedudukan itu sehingga tamat tempoh pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana Setiausaha Agung DAP itu merupakan aset kepada pentadbiran kerajaan semasa, selain diterima pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang-orang Melayu.

Menurut beliau, peletakan jawatan Anthony Loke sekiranya diterima hanya akan merugikan kerajaan.

“Sekiranya dia berundur daripada Jemaah Menteri, ia bukan sahaja menjejaskan kestabilan pentadbiran, malah berisiko mengganggu pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur penting yang sedang berjalan ketika ini.

“Saya faham, Anthony Loke mengambil keputusan itu kerana beliau seorang pemimpin yang berani mengambil tanggungjawab. Namun daripada sudut kerajaan, jika beliau tidak berada dalam Kabinet, ia satu kerugian besar.

“Beliau merupakan aset kepada Kerajaan Perpaduan kerana pendekatan diplomasi, pemahaman terhadap sentimen masyarakat serta cara pengendalian parti yang jauh berbeza dan lebih terbuka berbanding kepimpinan terdahulu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sesi Dialog Antara Pengusaha Pengangkutan dan Ahli Perniagaan di UTC Pasir Gudang, di sini hari ini.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri akan mengguna kemahuan diplomasinya dalam memujuk Ahli Parlimen Seremban itu untuk terus kekal berada dalam barisan hadapan kerajaan Persekutuan.

“Tindakan terburu-buru melepaskan jawatan tidak wajar berlaku memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) sudah semakin hampir, selain Pembentangan Bajet yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya juga menyambut baik keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP agar Menteri dan Timbalan Menteri lain daripada parti berkenaan untuk terus kekal berada dalam pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Tidak perlu letak jawatan secara beramai-ramai dalam keadaan sekarang. Banyak projek kerajaan yang sedang dilaksanakan. Sebagai contoh di Johor, ada beberapa projek bawah Kementerian Pengangkutan yang belum selesai dan memerlukan pemantauan, ini termasuklah Sistem Transit Rapid (RTS Link), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), projek landasan kereta api di Pasir Gudang serta perancangan Transit Aliran Autonomi (ART),” katanya.

Kelmarin, media melaporkan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×