KUALA LUMPUR: Golongan profesional dijemput untuk membantu kerajaan dan pelbagai kementerian, memberikan pandangan demi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia memberi ruang kepada pimpinan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) untuk mencalonkan ahli-ahli pakar daripada pelbagai disiplin bagi membantu kementerian-kementerian merangka dasar negara.
Beliau berkata, kepimpinan BIM perlu mengenalpasti pakar yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam jawatankuasa khas berkaitan sektor-sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan, teknologi maklumat (IT) dan bidang strategik lain.
“Saya ingin ingatkan menteri-menteri, kita bukan ada kepakaran dalam semua bidang dan jangan ingat kita pandai dalam semua hal. Mesti patut mendengar dan menilai.
“Sebab itu selepas ini saya akan bawa perkara ini ke Jemaah Menteri. Saya minta pimpinan Balai Ikhtisas tentukan dan lengkapkan senarai calon yang boleh diberi peranan dalam jawatankuasa kesihatan, pendidikan, IT dan sebagainya untuk berikan khidmat—umumnya secara sukarela tanpa elaun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di Pusat Konvensyen KLGCC.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sumbangan khidmat nasihat secara tanpa elaun itu merupakan tugas serta tanggungjawab bersama golongan profesional bagi mengangkat martabat dan keupayaan negara.
Katanya, tidak semua individu memiliki kemahiran khas untuk mencetuskan idea, seni bina mahupun pemikiran baharu, melainkan golongan terpilih seperti profesional yang menjadi ejen pembaharuan.
“Sebab itu kementerian-kementerian harus memanfaatkan kebolehan ini. Walaupun kita berdepan pelbagai cabaran di luar, majoriti rakyat sebenarnya mahu fokus kepada isu teras, bagaimana mahu menjamin peluang pekerjaan anak-anak, pendidikan berkualiti, kemudahan kesihatan yang baik serta persekitaran yang selamat.
“Golongan profesional yang terangkum dalam Balai Ikhtisas ini digesa membantu kerajaan merealisasikannya kerana anda mempunyai keupayaan untuk mengajak masyarakat berfikir ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan penetapan 29 September sebagai Hari Ikhtisas Malaysia bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan profesional di negara ini.
Tambahnya, cadangan pengisytiharan itu mempunyai kewajaran dan kebijaksanaan tersendiri dalam menyatukan kekuatan pelbagai disiplin kepakaran. – UTUSAN











