LONDON: Gangguan sistem kawalan trafik udara yang menyebabkan ribuan penerbangan di seluruh United Kingdom (UK) terkandas awal minggu ini berpunca daripada tindakan sebuah pesawat tentera memasukkan data penerbangan ‘tidak tepat’ ke dalam sistem tersebut.
Ratusan ribu penumpang terjejas selepas lebih 2,000 penerbangan dibatalkan pada Selasa apabila sistem yang digunakan Perkhidmatan Trafik Udara Kebangsaan (NATS) mengalami gangguan selama empat jam.
Menurut laporan Financial Times, empat individu yang mendapat taklimat mengenai insiden itu mendakwa gangguan tersebut berpunca daripada pelan penerbangan yang dihantar sebuah pesawat tentera UK.
Pelan penerbangan itu dipercayai menyebabkan sistem kawalan trafik udara digunakan NATS mengalami kegagalan, yang berlarutan selama beberapa jam sebelum dapat dipulihkan.
Akhbar itu turut melaporkan pegawai operasi NATS, Kathryn Leahy, menghubungi pengurus operasi di beberapa lapangan terbang dan syarikat penerbangan berhubung insiden itu.
Keadaan menjadi tegang selepas Leahy memaklumkan sistem pemprosesan penerbangan NATS tidak mempunyai sistem sandaran khusus kerana agensi itu sedang menjalani rombakan menyeluruh terhadap sistemnya.
Menurut laporan itu, jumlah data yang disimpan NATS juga menyebabkan proses penduaan data memerlukan kos yang amat besar.
Gangguan berkenaan merupakan yang paling serius menjejaskan ruang udara komersial Britain sejak Ogos 2023, apabila masalah teknikal menyebabkan hampir 1,600 penerbangan mengalami kelewatan.
NATS turut menerima kritikan selepas kejadian itu dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) mengemukakan 34 cadangan bagi menambah baik sistemnya dan mengelak kejadian sama berulang.
Beberapa syarikat penerbangan turut menggesa Ketua Eksekutif NATS, Martin Rolfe, meletak jawatan atau dipecat susulan gangguan itu.- AGENSI










