WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada sekutunya supaya menjangkakan kelewatan sehingga lima tahun bagi penghantaran senjata utama ketika negara itu berusaha menambah semula stok senjata yang semakin berkurangan.
Beberapa negara Eropah menjangkakan penghantaran sistem peluru berpandu dan pertahanan udara utama ditangguhkan susulan tentera AS menggunakan stok senjatanya dalam perang dengan Iran, menurut beberapa pegawai.
Jerman meminta AS mempercepatkan penghantaran peluru berpandu kruis jarak jauh Tomahawk dan pelancar Typhoon berasaskan darat, namun stok senjata berkenaan yang semakin berkurangan menyebabkan pengeluarnya, Raytheon, anak syarikat RTX Corp, dijangka tidak dapat memenuhi pesanan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dua lagi pegawai berkata, beberapa negara Eropah Timur yang turut bergantung kepada sistem persenjataan AS juga mengalami kelewatan penghantaran tidak lama selepas AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari.
Jabatan Pertahanan AS tidak segera memberi maklum balas terhadap panggilan untuk mendapatkan komen.
Keputusan Pentagon untuk mengutamakan stok persenjataannya sendiri turut menjejaskan usaha Ukraine mendapatkan lebih banyak pemintas pertahanan udara Patriot daripada AS menjelang musim sejuk yang dijangka sukar bagi negara yang dilanda perang itu.
Isu keperluan mendesak Ukraine terhadap sistem pertahanan udara akan menjadi antara topik utama dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu depan.
Presiden Donald Trump awal minggu ini memberitahu pemberita beliau sedang berbincang dengan Ukraine mengenai kemungkinan menghantar versi sistem Patriot yang ‘jauh kurang canggih’ atau memberi lesen kepada negara Eropah untuk mengeluarkan senjata berkenaan.
Dianggarkan AS menggunakan lebih separuh varian peluru berpandu Patriot tercanggihnya, satu pertiga peluru berpandu Tomahawk serta hampir separuh pemintas Precision Strike Missile dan Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) dalam perang di Iran.
Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) berkata, AS berkemungkinan menggunakan sehingga dua pertiga daripada inventori pemintas pertahanan peluru berpandunya sejak Jun 2025.
Pegawai kini berusaha menambah stok komponen kritikal dan senjata terpilih, selain memendekkan tempoh pengeluaran, menurut laporan pejabat pemantau itu yang dikeluarkan minggu ini.











